Kuala Lumpur: Sejak 7 Oktober lalu, sidang media perkembangan Covid-19 oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersiaran secara langsung di kediamannya berikutan beliau masih lagi dalam tempoh kuarantin kendiri.

Sidang media yang turut disiarkan di Facebook (FB) Live Harian Metro menarik perhatian ramai termasuk koleksi barangan yang ada di kabinet barangnya.

Ia menjadi bahan bidaan warganet di ruangan komen FB berkenaan.

Rata-rata warganet di ruangan komen menggunakan perkataan ‘lock’ yang membawa maksud ‘ingin beli’ koleksi barangan terbabit.

Menyedari komen mencuit hati warganet itu, Ismail Sabri yang mesra dengan gelaran Pak Long memuat naik hantaran balas di akaun Facebook miliknya selepas sidang media pada 4 petang itu.

“Pak Long terbaca juga komen-komen kalian selepas sidang media perkembangan Covid-19 (Non-Health) tadi.

“Ramai juga ya yang nak bida baju Pak Long dan barang perhiasan di belakang seperti helmet, bola, tengkolok dan sebagainya,” katanya.

Hantaran di Instagram rasmi miliknya yang dimuat naik hari ini pula, beliau menyatakan pada awalnya kurang memahami apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘lock’ sebelum diberitahu rakannya.

“Sebab orang tua seperti saya tergaru-garu kepala saya bila sebut ‘lock’ sebab saya tak faham, itukan bahasa orang muda.

“Bila kawan saya explain (terangkan) barulah saya faham, tergelak besar saya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengagumi idea kreatif warganet yang sentiasa menghidupkan suasana.

“Dulu baju saya jadi kek, kuih dan minuman. Kini ‘lock’ barang-barang di kabinet saya.

“Terima kasih kepada semua netizen yang sentiasa peka dengan sidang media saya. Terima kasih kepada semua netizen yang sentiasa menceriakan dan membuat saya gembira,” katanya.

Dalam hantaran Facebook sama, beliau turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutamanya yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Jangan lupa kerap cuci tangan, pakai pelitup muka dan jaga penjarakan sosial. Kita terus lawan dan bangkit kembali menentang penularan Covid-19,” katanya.