“Jika anda ke China untuk transplantasi jantung, mungkin seseorang yang tidak bersalah akan dibunuh untuk anda,”.Itulah yang dikatakan oleh Dr Enver Tohti,seorang bekas pakar bedah yang pernah berkhidmat secara langsung dalam ‘penuaian’ organ terancang di China pada era 1990-an.

Menjadi salah seorang doktor yang agak muda ketika itu,Dr Enver sangat bersemangat dalam melakukan tanggungjawabnya,termasuklah dengan mengambil organ dalaman daripada banduan biarpun mangsa masih bernyawa.

Semuanya dipercayai dilakukan atas arahan ketua atasannya.

Dilatih mengikut arahan tanpa soalan

Nama saya Enver Tohti (ID459T), bekas pakar bedah yang pernah mengekstrak organ daripada banduan yang dibunuh. Saya dilahirkan di pekan Komul, di Timur Turkistan, wilayah yang dipanggil China sebagai Xinjiang.

Penuaian organ boleh dikenalpasti pada tahun 1990 di Urumchi (Urumqi), Xinjiang, China. Saya merupakan seorang doktor bedah muda yang bertugas di jabatan pesakit luar Railway Central Hospital.

Enver merupakan salah seorang daripada doktor yang boleh berbahasa Uighur.Oleh itu tidak hairanlah jika Enver pernah berkata yang dia sering dikunjungi warga tempatan yang ingin mendapatkan rawatan dengannya.

Satu hari, seorang lelaki membawa anak remajanya untuk memeriksa jika dia kehilangan mana-mana organ. Saya tanya kenapa. Katanya, dia pernah melihat remaja-remaja dari kampungnya hilang untuk beberapa bulan, apabila ditemui, organ mereka telah dicuri.

Anak lelakinya pernah hilang tiga bulan lepas ketika mereka berada di sebuah pasar. Seseorang menemui anaknya pada minggu lepas. Sejak itu, dia turut risau keadaan anaknya andai organnya telah dicuri.

Saya tidak menemui sebarang parut yang menandakan sebarang pembedahan, jadi saya beritahu dia bahawa semuanya baik-baik sahaja.

Walau bagaimanapun, sepanjang enam bulan, saya melihat tiga orang remaja lelaki dengan parut besar berbentuk U pada badan mereka, bentuk yang terjadi untuk pembedahan ginjal.

Dipanggil untuk ‘tugas khas’

Pada musim panas 1995, Rabu, saya satu-satunya doktor yang tiada jadual pembedahan. Dua orang ketua pakar bedah memanggil saya ke pejabat mereka dan meminta saya melakukan sesuatu yang ‘liar’.

Sebagai seorang doktor muda yang bersemangat, saya teruja dengan apa yang mereka katakan.

“Kamu pergi ke teater dan dapatkan peralatan pembedahan mudah alih yang paling besar, bawa dua orang pembantu dan dua orang jururawat, maklumkan kepada jabatan anestesiologi untuk dua orang pakar bius sebagai back up dan lapor diri pada 9.30 pagi esok di pagar hospital dengan ‘ambulan’ – ambulan yang dimaksudkan hanyalah van dengan satu katil di dalamnya.

Pada pagi esoknya, kami berkumpul di pagar, dua ketua pakar bedah muncul menaiki kereta dan meminta kami mengikut mereka.


Kata Enver, mereka dibawa ke suatu bukit yang didakwa lokasi hukuman bunuh dijalankan.

Saya berasa dingin walaupun dalam musim panas. Ada sebuah bukit, dua orang pakar bedah kami di sana dan berkata,

“Kamu tunggu di sini, datang bila dengar bunyi tembakan.”

Saya berasa takut, kenapa kami di sini?

Kami telah dilatih untuk mengikut arahan tanpa bertanya sebabnya.

“Mayat paling kanan awak punya”

Ketika itu ada beberapa bunyi tembakan, bukan mesingan tetapi beberapa senapang yang ditembak pada masa yang sama. Saya suruh pasukan saya masuk ke dalam van dan memandu ke pintu masuk lapangan tersebut.

Di sana ada banyak mayat, 10? 20? Tak tahu ada berapa, dari dalam van saya dapat lihat lima atau enam mayat di sebelah kiri pada cerun bukit. Kepala dicukur dengan uniform penjara, dahinya diletupkan.

Seorang pegawai polis menjerit kepada kami, “yang paling kanan di hujung sana awak punya.”

Keliru, mengapa ‘kami punya’? Tiada masa untuk tertanya-tanya, kami pergi ke lokasi berkenaan. Pakar bedah menyuruh saya segera mengeluarkan hati dan dua ginjal.

Seakan robot, saya jalankan tugas saya. Para pegawai polis dan pembantu sudah pun meletakkan mayat itu ke atas katil di dalam van. Mangsa adalah seorang lelaki berusia 30-an, tidak bercukur dengan berpakaian seperti orang awam. Peluru menembusi dada kanannya.

*Mangsa tidak ditembak pada dada kiri (jantung) bagi memastikan dia masih hidup ketika pembedahan dijalankan sehinggalah organ dikeluarkan.

Mangsa tidak dibius

Jururawat telah menyediakan mayat itu dengan dua orang ketua pakar bedah berdiri di sebelah kiri memerhatikan gerakan saya.

Saya meminta untuk membius, mereka kata tak perlu, “Kita bius jika perlu.”

Ia bermaksud mereka akan memerhatikan jika lelaki itu tidak bergerak dan lakukan sesuatu. Lelaki itu kelihatan seperti sudah mati, jadi saya memulakan pembedahan dengan potongan berbentuk ‘T’ untuk mendedahkan organ dalaman seluas mungkin.

Pisau bedah saya memotong kulitnya, darah kelihatan, menunjukkan jantungnya masih mengepam darah, dia masih hidup!

Ketua pakar bedah berbisik kepada saya supaya bertindak segera. Kata-katanya adalah arahan, jadi saya rasa ia adalah sejenis jaminan bahawa saya melakukan ini atas arahannya.

Pembedahan mengambil masa 30 hingga 40 minit, ketua pakar bedah gembira meletakkan organ-organ tersebut ke dalam kotak yang pelik dan berkata, 

“Baik, sekarang bawa pasukan kamu ke hospital, ingat, tiada apa yang berlaku hari ini.”


Saya tahu ia adalah satu arahan juga. Tiada sesiapa yang berbicara mengenainya sejak itu.



Agenda pemeriksaan kesihatan percuma?

Tambah Dr Enver lagi,beliau turut curiga tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh Parti Komunis China (CPC) pada 2016 yang dikatakan memberi pemeriksaan kesihatan percuma bagi penduduk Xinjiang tanpa sebarang penjelasan yang lebih lanjut.

“Saya mengesyaki CPC sedang membina pangkalan data kebangsaan bagi pemerdagangan organ.”

“Terdapat juga maklumat menyatakan CPC menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di wilayah berkenaan dengan dakwaan untuk meningkatkan kualiti hidup Uighur, yang saya percaya adalah satu penipuan.

“Menurut media China, jumlah sampel yang diambil telahpun melebihi 17 juta.

“Pembangunan terbaru Xinjiang memberi lebih banyak bukti terhadap dakwaan CPC cuba menutupi operasi pencurian organ mereka, mereka telah membangunkan kem ‘pendidikan semula’ di seluruh negara dengan jutaan tahanan dihantar ke sana.

“Sebahagian besar daripada mereka terus ‘hilang’ di dalam kem, sedangkan tiada rekod pelepasan tahanan.

“Mereka yang dapat keluar daripada kem hanyalah kerana mereka sakit atau tak mampu berdikari di dalam kem,” kongsinya.

Di samping itu,dalam dokumen pengakuan Dr Enver,ada disertakan sekeping gambar yang dikatakan diambil di sebuah lapangan terbang.

“Kerana kombinasi bahasa-bahasa ini hanya boleh dilihat di Xinjiang, ia menyatakan “penumpang khas, laluan pengangkutan organ manusia”.


Meskipun China telah mendakwa yang mereka telah menghentikan jenayah tersebut sejak beberapa tahun lepas.Namun,penuaian organ masih disyaki berjalan berikutan beberapa senarai menunggu pendek untuk penerimaan organ.

Menurut New Scientist, satu kempen telah diadakan untuk menyiasat kes penganiayaan terhadap Falun Gong pada tahun 2018 telah membawa sekumpulan penyelidik untuk menyamar sebagai doktor supaya menghubungi doktor yang berada di China yang mereka kononnya ingin menempah transplantasi organ.

Sebahagian daripada mereka dijanjikan masa menunggu untuk mendapatkan transplantasi organ dalam jangka masa yang sangat pendek sahaja,lebih kurang seawal satu atau dua minggu.

 9 daripada 12 hospital yang dihubungi,para doktor di hospital tersebut secara lisan telah mengesahkan bahwa organ tersebut diambil daripada ahli Falun Gong.

Menurut satu laporan,ahli Falun Gong merupakan orang yang mengikut ajaran seakan agama Buddha.Mereka turut dijadikan mangsa bersama minoriti Muslim atas dakwaan mereka mengancam kuasa politik parti berkenaan,CPC.

“Demi ekonomi, Uighur didiskriminasi”

Xinjiang merupakan salah satu daripada wilayah yang terletak di barat laut China,Xinjiang terletak bersebelahan negara Kyrgyzstan dan Tajikistan.Ia merupakan penempatan etnik asli Uighur,etnik minoriti beragama Islam yang mempunyai budaya serta identiti berbeza berbanding etnik Han dan selebihnya ialah rakyat China.

Pada tahun 1933,pemerintahan sendiri telah menjadikan Xinjiang sebagai tanah yang merdeka   namun telah dijajah oleh kuasa China pada ketika itu.

Menjadi salah satu daripada  wilayah yang kaya dengan sumber tenaga, wilayah ini telah menjadi penting untuk kerajaan China supaya mereka dapat mengembangkan ekonomi mereka.

Bagi mengimbangkan pengaruh etnik Uighur yang disifatkan berpotensi untuk memberontak, kerajaan negara itu menggalakkan pemindahan etnik Han ke wilayah berkenaan.

Pada tahun 2009 pula, satu bantahan berdarah telah berlaku di antara dua etnik berkenaan yang di mana telah mengubah bentuk kehidupan Muslim di wilayah itu.

Menurut The Guardian,bantahan bermula apabila ribuan penduduk menjalankan demonstrasi untuk membantah mengenai kematian dua orang migran Uighuer dan ratusan yang cedera ketika konflik etnik antara pekerja.Kejadian tersebut berlaku di sebuah kilang di Guangdong, selatan China pada bulan sebelumnya.

Disebabkan itu, China telah mewujudkan satu inisiatif yang dinyatakan untuk ‘membanteras ekstremisme’.Antara inisiatif tersebut ialah dengan mewujudkan ‘kem pendidikan semula’ yang terkenal sebagai pusat untuk melatih ideologi komunis di samping mendera tahanan-tahanan lelaki dan wanita yang dikatakan mencecah hampir 1 juta orang.