KUALA LUMPUR, 24 Feb — Kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat memasuki pekarangan Istana Negara susulan perkembangan politik negara hari ini. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 24 Feb — Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Istana Negara dipercayai bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Dr Mahathir tiba pada 4.45 petang menaiki kenderaan Proton Perdana diiringi oleh polis pengiring.

Dr Mahathir hari ini membuat kejutan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkembangan tersebut merupakan rentetan beberapa pemimpin daripada Bersatu, PKR, UMNO, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan Warisan yang masing-masing mengadakan mesyuarat secara berasingan di ibu negara dan Petaling Jaya semalam.

Ia kemudian diikuti dengan beberapa pemimpin utama pelbagai parti politik kerajaan dan pembangkang hadir dalam satu mesyuarat khas dan tertutup di sebuah hotel di Petaling Jaya, sehingga mencetuskan tanda tanya tentang tujuan mesyuarat itu diadakan. 

Timbul spekulasi bahawa semua mesyuarat yang berlangsung semalam ada kaitan dengan pengaturan semula landskap politik negara.

“Dipetik daripada BERNAMA”

Sumber: Bernama