SHAH ALAM – “Terima kasih semua. Jalan terus!” begitulah status ringkas bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di laman Facebook rasmi beliau sebentar tadi.

Dalam status tersebut, beliau turut berkongsi sekeping gambar yang menunjukkan beliau sedang mendukung seorang pelajar yang sedang tersenyum gembira sementara pelejar itu melekapkan pipinya ke pipi Dr Maszlee.

Wajah Dr Maszlee Malik jelas kelihatan sangat gembira dan semua yang berada di dalam gambar tersebut yang mmepunyai tulisan “Terima Kasih” itu turut menunjukkan reaksi sama.

Jika dilihat, Dr Maszlee tampak gembira namun mungkin jauh di sudut hati beliau, mungkin ada kesedihan terkubu di hati Dr Maszlee apatah lagi selepas beliau telah bersungguh-sungguh membentuk semula sistem pendidikan negara agar sistem menjadi lebih baik.

Walaupun status tersebut hanya mempunyai lima perkataan,namun status Dr Maszlee itu telah mengambil hati ribuan rakyat Malaysia.

Ini dapat dilihat kerana tidak sampai dua jam selepas beliau berkongsi status berkenaan, lebih 23,000 netizen telah memberikan reaksi terhadap kirimannya itu.Malahan lebih daripada 2,000 komen telah dicatatkan.

Rata-rata yang memberi komen itu memberi sokongan kepada Dr Maszlee malahan ada yang mengiktiraf beliau antara Menteri Pendidikan terbaik yang pernah Malaysia miliki.

“Bagi saya secara peribadi tuan adalah menteri pendidikan terbaik malaysia zaman ini setanding dengan menteri pelajaran legenda, Tun Rahman Ya’kub.

“Persamaan tuan dengan Tun Rahman Ya’kub adalah berkhidmat tidak lama namun kesannya mendalam kepada warga Malaysia,” tulis Khairul Anwar Anwar.