Sememangnya buah strawberi harus ditanam di tempat atau tanah tinggi. Akan tetapi, lain pula cara yang dilakukan oleh lelaki ini. Lelaki berkenaan telah menanam buah strawberi di Ladang Penternakan Madu Lebah dan Kelulut di Kampung Jambu Bongkok, Marang.

Hasilnya, lebih daripada 300 pokok strawberi yang ditanamnya itu membuah hasil. Malahan, rasa buah strawberi itu dikatakan lebih manis berbanding buah strawberi yang ditanam di kawasan tanah tinggi termasuklah Cameron Highlands.

Pengusahanya, Nor Ehsan Abdul Rahman, 41 tahun, berkata yang dia dengan kerjasama UMT mula menanam 100 pokok strawberi sejak bulan Jun tahun 2018.

“Alhamdulillah dengan menggunakan teknik betul selain penggunaan baja biochar diperkenalkan UMT, pokok strawberi itu berbuah selepas tiga bulan.

“Pada awalnya, saya berasa tidak yakin, maklumlah strawberi biasanya ditanam di kawasan tanah tinggi.

“Bagaimanapun proses tumbesaran pokok strawberi lancar sehingga mengeluarkan hasil membuktikan strawberi sesuai ditanam di kawasan tanah rata,” kata beliau ketika ditemui di Galeri Madu Big Bee Haney di Jalan Jambu Bongkok, Marang, hari ini.

Selain itu, Nor Ehsan turut berkata yang projek penanaman strawberi itu masih dalam peringkat kajian. Percubaan akan dijalankan bersama UMT.

Di samping itu, beliau turut berkata yang pada setiap minggu, seramai 20 pengkaji, pensyarah serta penuntut UMT yang diketuai oleh Dr Wan Zaliha Wan Sembok akan berkunjung ke tapak tanamannya untuk menjalankan pemantauan dan kajian.

“Bentuk buah strawberi yang dihasilkan sekarang masih belum mencapai piawai strawberi ditetapkan, ia masih berbentuk bujur dan tidak bulat.

“Bagaimanapun, rasanya lebih manis berbanding strawberi dijual di pasaran dan itu ialah kelebihan strawberi dari kawasan tanah rata,” katanya.

Menurutnya lagi, buah strawberi telah dituai sebanyak empat kali sepanjang enam bulan projek itu dijalankan.

Katanya, selain menguji keberkesanan tanaman strawberi ditanam di kawasan tanah rata, dia turut merancang untuk mengeluarkan produk madu kelulut yang bahan utamanya ialah strawberi.

“Beberapa sarang kelulut ditempatkan berhampiran tanaman strawberi itu dan lebah kelulut dilihat sudah mula hinggap pada bunga strawberi.

“Melalui proses itu, pada masa akan datang lebah kelulut yang diternak di situ akan menghasilkan madu berasaskan strawberi pula,” katanya.

Sementara itu, Wan Zaliha turut berkata yang, program pemindahan ilmu itu dibiayai oleh dana Asimilasi Pengetahuan dan Teknologi (KTAG2019) UMT.

Sumber: myMetro