Washington: Tentera Amerika Syarikat didakwa telah membuat percubaan untuk menyerang seorang lagi komander Pasukan Pengawal Revolusi Iran(IRGC) di Yaman. Ia dilakukan pada hari yang sama Leftenan Jeneral Qassem Soleimani yang terbunuh di Baghdad pada 3 Januari yang lalu.

The Washington Post telah memetik kenyataan pegawai di Washington serta rangkaian-rangkaian berita yang berpusat di AS telah melaporkan bahawa serangan yang gagal itu mensasarkan Komander Kanan Pasukan Quds di Sanaa Abdul Reza Shahlai.

Untuk makluman anda, Shahlai merupakan seorang pegawai yang bergerak secara aktif membantu tentera Yemen menahan  serangan tentera daripada gabungan Arab.

Sementara itu, New York Times turut mendakwa yang pentadbiran Presiden AS, Donald Trump juga menawarkan ganjaran sebanyak AS$15 juta (RM61.15 juta) kepada siapa-siapa yang mampu memberikan maklumat tentang Shahlai yang dikatakan telah terlibat dalam rancangan membunuh Duta Arab Saudi ke Washington pada tahun 2011 lalu.

Laporan itu didedahkan selepas Dewan Perwakilan mengkritik keputusan pentadbiran Trump yang melakukan serangan ke atas pegawai kanan tentera Iran yang didakwa bertujuan untuk menjatuhkan kepimpinan Pasukan Quds.

Pada hari Khamis yang lalu, Dewan Perwakilan AS meluluskan resolusi mengehadkan kuasa Trump daripada mengeluarkan sebarang arahan berhubung tindakan ketenteraan selanjutnya ke atas Teheran. – Agensi

Sumber: AstroAwani