Sanggup dikuarantin di hospital, asalkan di tanah air sendiri.

Itu luahan hati pelajar Malaysia di University Geoscience China di Wuhan, Ivan Yeo Zhi Yu, seorang anak kelahiran Bintulu, Sarawak yang sudah lebih seminggu tidak keluar daripada asrama universitinya.

Meskipun mengakui ada bekalan makanan dihantar oleh Kedutaan Malaysia, namun rakyat Malaysia seperti Ivan perlu patuh dengan beberapa larangan ditetapkan buat masa ini.

Tiada pilihan lain, dia terpaksa meredah bandar yang dahulunya punyai jutaan penduduk, hanya demi mendapatkan bekalan makanan, iaitu hanya mi segera.

“Kedutaan Malaysia di China ada hantar bekalan makanan kepada kami. Tapi sistem penghantaran pada ketika ini telah dihentikan.

“Mereka menyekat kemasukan produk dari luar kerana ia melibatkan penularan virus sebagainya. Buat masa ini tidak ada barangan luar dibenar dibawa masuk ke dalam asrama kami.

“Ada antara kami yang berjaya dapatkan bekalan makanan. Saya masih di dalam bilik asrama sejak seminggu lalu.

“Hari ini saya keluar untuk mendapatkan bekalan makanan daripada kedai. Saya hanya dapat bekalan mi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Takut, cemas dan khuatir – semua rasa itu kini bercampur dan langsung tidak dapat diketepikan walaupun sering dihubungi ahli keluarga yang jauh.

“Kami sebenarnya amat risau ketika ini. Terutama selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasi semula penarafan iaitu tahap tertinggi di China. Kami sangat risau dan takut.

“Selepas mereka mendapatkan berita tersebut, mereka bertanya saya ada masih di Wuhan. Saya kata masih di Wuhan.

“Mereka minta saya terus bersabar, bertenang, jangan risau dan sebagainya. Kami sebenarnya amat risau terhadap segala yang berlaku,” akuinya.

Tiada lain harapan Ivan – melainkan dapat pulang ke tanah air, biarpun perlu berminggu di dalam hospital.

“Saya mahu pihak kerajaan terus memaklumkan kepada kami tentang situasi semasa. Saya harap kerajaan dapat ambil langkah berjaga-jaga terhadap warga China yang ke Malaysia.

“Saya amat berharap kami dapat pulang ke Malaysia dan tinggal di hospital,” ujarnya.

Ivan merupakan antara 78 rakyat Malaysia yang berada di Wuhan, China.

Mereka terdiri daripada pelajar, golongan profesional serta ahli keluarga mereka.

“Dipetik daripada AstroAwani”

Sumber: AstroAwani