KUALA LUMPUR: Purata pendapatan isi rumah Malaysia pada nilai benar meningkat tiga kali ganda daripada RM2,580 pada 1989 kepada RM7,901 pada 2019, manakala pendapatan penengah dalam tempoh sama pula meningkat daripada RM1,801 kepada RM5,873.

Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dalam laporan terbaharunya bertajuk ‘Welfare in Malaysia Across Three Decades’ berkata, pendapatan isi rumah pada 2019 merangkumi 45.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), meningkat berbanding 35.9 peratus pada 1989.

“Pertumbuhan pendapatan ini menyumbang kepada peningkatan tahap perbelanjaan. Corak penggunaan berubah dengan peningkatan perbelanjaan bukan keperluan seperti barangan berkaitan komunikasi, rekreasi dan kebudayaan serta juga makan di luar rumah.

“Ini menandakan taraf hidup yang lebih baik. Kadar kemiskinan mutlak pula menurun sepanjang tiga dekad ini daripada 16.5 peratus pada 1989 kepada 5.6 peratus pada 2019 (setelah mengambil kira garis kemiskinan baharu).

“Sementara itu, trend jangka panjang jurang pendapatan yang biasanya diukur dengan pekali Gini, turut berkurangan daripada 0.442 kepada 0.407 dalam tempoh yang sama.” katanya.

KRI berkata, pertumbuhan pendapatan Bumiputera pula lebih tinggi berbanding kaum lain.

Pembangunan ekonomi juga, katanya, meningkatkan purata pendapatan dan penengah di semua negeri sepanjang tiga dekad yang lalu.

Ia berkata, pencapaian positif itu dicapai walaupun terdapat pelbagai cabaran, termasuklah yang berada di luar kawalan Malaysia seperti Krisis Kewangan Asia dan Krisis Kewangan Global yang menjejaskan kadar pertumbuhan ekonomi negara.

“Menilai peningkatan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah dalam jangka tempoh panjang, KRI mendapati purata pertumbuhan tahunan pendapatan tertinggi direkodkan pada 1989 hingga 1997.

“Namun ia kemudiannya berkurangan separuh dalam tempoh 1999 hingga 2007,” katanya.

KRI berkata, walaupun pertumbuhan pendapatan pulih pada 2009 hingga 2019 kadarnya masih rendah berbanding tempoh kerancakan ekonomi sebelum Krisis Kewangan Asia 1997.

Ini, katanya, memberi gambaran kadar pertumbuhan pendapatan isi rumah telah berkembang dengan lebih perlahan seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin rendah.

Pada 2019, ia berkata agihan pendapatan isi rumah B20 adalah 5.9 peratus, manakala agihan pendapatan isi rumah T10 pula adalah sebanyak 30.7 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan isi rumah.

Justeru, tegasnya usaha perlu digarap ke arah mewujudkan masyarakat yang mempunyai agihan pendapatan yang lebih sekata.

“Laporan terbaharu KRI juga menunjukkan terdapat peningkatan positif dalam pendapatan purata apabila perbandingan dibuat antara negeri dan kaum.

“Namun, trend itu didorong oleh kenaikan pendapatan daripada bantuan tunai dan pendapatan bekerja sendiri, manakala pertumbuhan gaji adalah perlahan bagi semua negeri dan kaum.

“Di samping itu, kepelbagaian sektor ekonomi Bumiputera masih terhad berbanding bukan Bumiputera,” katanya.