KUANTAN, 31 Disember — Pemilik premis di Pahang yang ingkar dengan arahan kerajaan negeri Pahang supaya memasang papan tanda dalam tulisan jawi akan dikenakan tindakan tegas mulai esok kerana tiada lagi tempoh lanjutan yang akan diberikan kepada mereka untuk berbuat demikian.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang ,Abd Rahim Muda menyatakan  tempoh setahun yang telah diberikan adalah mencukupi untuk semua pihak terlibat mengambil langkah sewajarnya bagi memasang papan tanda dalam tulisan jawi.

“Malah tempoh pemasangan papan tanda itu juga sudah dipanjangkan kerana mengikut arahan awal, ia sepatutnya berkuatkuasa pada 1 Jan 2019 sebelum kita lanjutkan kepada 30 Jun lalu.

“Tempoh itu sekali lagi dipanjangkan kepada hari ini (31 Dis) menyebabkan kita berpandangan tiada alasan untuk mana-mana pihak tidak mematuhinya,” katanya di sidang media hari ini.
Abd Rahim turut memaklumkan bahawa penggunaan tulisan jawi ini juga selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang supaya tulisan tersebut lebih diperkasakan di negeri ini.

Mereka yang ingkar dengan arahan tersebut boleh dikenakan kompaun maksimum RM250 dan jika masih berdegil, mereka boleh berhadapan dengan tindakan lesen perniagaan mereka dibatalkan, katanya.

Berkenaan sambutan pemilik premis terhadap arahan itu setakat ini, Abd Rahim berkata daripada pemerhatian pihak berkuasa tempatan (PBT), mereka telah mendapati sekitar 70 peratus premis perniagaan telahpun memasang papan tanda dalam tulisan jawi.

“Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka didapati tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan seperti saiznya kecil dan dipasang pada bahagian bawah, sedangkan ia sepatutnya berada di atas.

“Kita harap mereka dapat memperbetulkan perkara ini mengikut spesifikasi yang tepat supaya tulisan jawi itu mudah dilihat jika menggunakan saiz dan berada di kedudukan yang betul,” katanya.
Pahang sebelum ini, membuat ketetapan supaya semua premis perniagaan dan papan jalan di negeri ini menggunakan tulisan jawi dengan syarat tulisan itu bersaiz sama dengan tulisan rumi.

Selain itu, Abd Rahim turut memberitahu yang pemasangan papan tanda dalam tulisan jawi tidak bermaksud pemilik premis perlu memasang papan perniagaan baharu, sebaliknya tulisan tersebut hanya perlu ditampal pada papan yang telah sedia ada.

Sumber: BERNAMA