Ampang: Polis mengesan wanita dan lelaki yang terbabit dalam kejadian pukul di hadapan sebuah restoran di Pandan Jaya, seperti tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Azam Ismail berkata, polis melihat satu rakaman video yang menunjukkan kejadian berkenaan.

“Video berdurasi 16 saat itu dimuat naik ke Facebook oleh seorang penama. Dalam video itu kelihatan seorang lelaki tidak dikenal pasti memukul seorang wanita juga tidak dikenal pasti.

“Berdasarkan siasatan mendapati kawasan kejadian adalah tempat awam dan dipercayai mangsa serta suspek mempunyai hubungan keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis sedang berusaha mengesan mangsa dan pelaku.

“Sehingga kini, tiada saksi awam yang tampil memberikan keterangan,” katanya

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 18(a) Akta Keganasan Rumah Tangga dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman yang menunjukkan seorang lelaki memarahi, membaling objek dan menendang seorang wanita di kawasan premis serta jalan raya di hadapan sebuah restoran.

Menerusi rakaman tular itu, ada warganet yang mendakwa lelaki itu adalah adik kepada wanita terbabit yang berang selepas kakaknya itu mabuk.