Johor Bahru: Polis sudah mengenal pasti seramai 45 individu dari pertubuhan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) termasuk pemimpinnya iaitu Ketua HTM Negeri Johor, Sallahuddin Mashkuri.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan menggempur pusat penyebaran HTM di Skudai, dekat sini, di samping berkolaborasi dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), dalam tempoh terdekat.

Katanya, pihaknya sudah melihat kenyataan menerusi laman web pertubuhan itu mengenai artikel yang memetik namanya, namun ia tidak ditandatangani oleh mana-mana pihak pun melainkan hanya tertera Pejabat Media Hizbut Tahrir Malaysia.

“Kalau mereka (HTM) ada keberanian, sila tandatangani. Presiden ke, jurucakap ke (nama). Kenyataan yang dikeluarkan polis adalah berasaskan fatwa dikeluarkan oleh JAINJ.

“Isu fitnah atau tidak fitnah ke tidak timbul. Fatwa ini sudah pun keluar atas perintah dan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

“Sebagai umat Islam di Johor, wajib patuhi fatwa kerajaan negeri. Ini bukan benda yang boleh dimain-main, tidak ada fitnah.

“Kalau baca betul-betul fatwa JAINJ, jelas menyatakan penyelewengan Hizbut Tahrir. Bukan saja di Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kuala Lumpur, Sabah dan Penang. Adakah itu dikatakan fitnah? Bukan saja di Malaysia, di peringkat antarabangsa juga negara Islam yang lain..semua sudah memasukkan Hizbut Tahrir sebagai kumpulan sesat dan boleh ancam keselamatan negara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, pihaknya tidak akan menggunakan bahasa yang lembut terhadap individu atau pertubuhan yang tidak mengikut undang-undang.

“Tindakan kumpulan macam inilah yang merugikan umat Islam. Apabila mereka kata umat Islam tidak perlu terbabit dalam pilihan raya, siapa yang hendak mengundi sistem demokrasi jadi siapa yang hendak perintah negara? Khalifah mereka (HTM) ke?

“Kita (Malaysia) ada sistem dan kaedah, tanya mereka (HTM) macam mana kaedah mereka mahu membentuk negara. Tolak sistem demokrasi dan sistem beraja, kita nak melalui apa? In directly (secara tidak langsung) perang lah, memang ada pun risalah (HTM) dikeluarkan.

“Fahaman ini (HTM) ada ciri-ciri ajaran sesat antaranya seperti Daesh, cuma mereka ini belum angkat senjata lagi… jadi kita jangan biarkan mereka berkembang,” katanya.

Semalam, terdapat kenyataan yang dimuat naik di laman web HTM mendakwa Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi dan Ketua Polis Johor memfitnah bahawa fahaman pertubuhan itu bercanggah dengan agama Islam.

Pada 1 Oktober lalu, Ayob Khan dilaporkan berkata, pihaknya sedang memantau pergerakan pengikut HTM yang boleh ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) jika mereka didapati mengganggu-gugat keamanan dan keharmonian masyarakat di negeri ini.

Katanya, polis Johor membuka kertas siasatan terhadap HTM selepas menerima 17 laporan polis terhadap fahaman yang difatwakan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah itu.