Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak mengikuti perkembangan terkini mengenai tindakan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuba menukar kerajaan dengan mendakwa menerima sokongan lebih 120 sokongan Ahli Parlimen, hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu memfokuskan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri dengan memberi tumpuan menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Saya sebenarnya tidak mengikuti perkara itu (cubaan Anwar tubuh kerajaan baharu), saya serahkan kepada kebijaksanaan Agung (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah).null

“Tuanku seorang yang bijaksana, faham dengan peruntukan dalam Perlembagaan, ia kuasa penuh Agong maka kita harus beri kepercayaan kepada Baginda untuk membuat apa yang diputuskan, saya tidak mahu mengikuti perkara itu.

“Apa yang penting saya perlu menguruskan negara, saya masih berada di sini sebagai Perdana Menteri. Tugas dan amanah saya mesti laksanakan, perhatian utama ialah menguruskan masalah Covid-19 dan menguruskan ekonomi negara,” katanya dalam sidang media khas di kediamannya di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin menegaskan beliau lebih senang memberi fokus kepada kebajikan negara dan bukannya bermain politik.

Beliau berkata, soal kebajikan negara lebih penting dan tidak mahu bermain politik bagi mengelak persepsi negatif rakyat.

Beliau turut menafikan cuba mengelak bertemu media berikutan situasi semasa politik ketika ini.

“Saya bukan tidak buat sidang media atau mengelak media. Cuma saya memberi fokus kepada isu yang dihadapi negara setiap hari seperti Covid-19 dan soal pemulihan ekonomi.

“Media adalah satu perkara yang saya beri keutamaan, walaupun ramai berminat tanya soalan politik. Nanti rakyat fikir saya lebih suka bermain politik daripada menjaga kebajikan negara,” katanya.