Perjuangan Dr Maszlee Malik telah sampai ke satu penghujung apabila beliau telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan semalam setelah memegang jawatan tersebut selama 19 bulan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dr Maszlee Malik merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam dari Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) merupakan anggota Kabinet pertama dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan jawatan.

Beliau telah mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V pada 21 Mei 2018 selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan barisan bagi Kabinet kerajaan PH.

Sebaik sahaja beliau menjadi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee telah mengumumkan yang setiap pelajar di negara ini mempunyai kebenaran untuk memakai kasut serta stoking hitam mulai sesi persekolahan pada tahun 2019.

Pengumuman beliau itu tidak disambut dengan baik oleh pihak pembangkang serta pihak-pihak tertentu kerana bagi mereka, Dr Maszlee Malik sepatutnya memberikan lebih tumpuan kepada isu lain yang lebih besar.

Dugaan yang lebih besar telah melanda Dr Maszlee apabila beberapa pihak terutama sekali gabungan parti dalam PH memberikan tekanan supaya Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diterima oleh pihak kerajaan.

Permohonan itu dibuat kerana ia merupakan permintaan daripada masyarakat Cina sementara orang Melayu pula menolak tuntutan itu kerana bimbang dengan kedudukan Bahasa Melayu yang mungkin akan tergugat.

Tidak berhenti di situ, Dr Maszlee kemudiannya telah diuji sekali lagi apabila beliau diserang dari belah kiri dan kanan mengenai isu peruntukan kepada sekolah-sekolah pelbagai aliran.

Beliau terpaksa membuat penjelasan bahawa peruntukan kepada Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina pada tahun 2019 yang berjumlah RM12 juta bukan daripada Kementerian Pendidikan tetapi sebaliknya daripada Kementerian Kewangan.

Dr Maszlee terus berhadapan dengan tugas-tugas yang sukar apabila kementerian itu mengumumkan keputusan Kabinet mengenai kuota kemasukan pelajar ke matrikulasi dengan 90 peratus untuk pelajar Bumiputera, manakala 10 peratus kepada bukan Bumiputera.

Dengan itu, jumlah pengambilan pelajar untuk memasuki Program Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan pada tahun ini ditingkatkan kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 pada tahun lalu.

Menyusul selepas keputusan itu, jumlah pelajar Bumiputera yang berpeluang memasuki matrikulasi pada tahun ini, meningkat daripada 22,500 kepada 36,000 orang, manakala jumlah pelajar bukan Bumiputera meningkat daripada 2,500 kepada 4,000.

Walau bagaimanapun, Dr Maszlee telah menaikkan kemarahan dalam kalangan pemimpin politik seperti MCA, Gerakan dan DAP apabila beliau telah mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan bahasa Mandarin sebagai syarat mendapat pekerjaan.

Dalam pada itu, seorang pegawai kanan Maszlee berkata, beliau menjadi mangsa serangan pihak tertentu kerana Maszlee merupakan individu yang memberikan tumpuan kepada tugas dan tanggungjawab daripada bermain agenda politik.

“Beliau seorang yang betul-buat kerja untuk pendidikan. Beliau ialah menteri yang kurang berpolitik, bersih serta tidak memihak kepada sesiapa pun dalam memberi sebarang projek,” katanya.

Pegawai itu menambah: “Malaysia kehilangan tokoh pendidikan yang bagus.”

Krisis yang paling besar dalam kerjaya Maszlee sebagai Menteri Pendidikan ialah bagaimana beliau menangani isu tulisan jawi yang telah menjejaskan PH sebagai sebuah kerajaan baharu.

Isu itu tercetus apabila Kabinet mengekalkan keputusan untuk meneruskan pembelajaran tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu kepada murid Tahun 4 di sekolah vernakular mulai tahun ini namun perlu mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta ibu bapa.

Keputusan itu dimuktamadkan selepas Kabinet sekali lagi membincangkan mengenai perkara berkenaan pada 14 Ogos lalu.

Bagaimanapun, sebanyak 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil dilapor menolak keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 di sekolah vernakular.

Pertubuhan dipimpin Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mendakwa, pengenalan tulisan Jawi bagi murid di sekolah vernakular tidak bertepatan keperluan sebenar pembelajaran Bahasa Melayu.

Secara keseluruhan, persepsi rakyat terhadap Maszlee dilihat sangat negatif sehinggakan beberapa undian dalam talian dilihat tidak memihak kepada beliau.

Lebih memeritkan apabila wartawan veteran dan bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd, Datuk A Kadir Jasin mengkritik langkah menaikkan papan-papan iklan yang memaparkan wajah menteri pada 31 Disember lalu.

Kadir yang juga penasihat media kepada perdana menteri itu menjelaskan adalah lebih baik untuk papan iklan sedemikian digunakan untuk mempromosikan agenda kerajaan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah ahli pimpinan tertinggi Bersatu yang menaikkan papan tanda memaparkan gambar masing-masing termasuk Maszlee.

Sementara itu, beberapa naib canselor universiti awam ketika dihubungi enggan memberikan sebarang komen berhubung perletakan Maszlee.

Salah seorang naib canselor itu berkata, mereka berada dalam kekeliruan memahami punca sebenar Maszlee tersingkir.

Peletakan jawatan Maszlee kini mencetuskan tanda tanya mengenai calon yang akan menggantikan beliau, malah ada beberapa pihak meramalkan kemungkinan rombakan Kabinet mungkin akan dilakukan bersama dengan pengumuman Menteri Pendidikan yang baru.

Maszlee baru berusia 45 tahun. Bagi seorang ahli politik yang meletakkan jawatan sebagai menteri pada usia puncak kerjaya 45 tahun, masa depan beliau tidaklah gelap sepenuhnya.

Maszlee mempunyai masa sekurang-kurangnya dua dekad lagi untuk meneruskan perjuangan politiknya.

Dipetik daripada Sinar Harian