ANCHORAGE: Alaska telah merekodkan suhu purata yang paling tinggi serta panas pada penghujung tahun 2019 selepas setahun Alaska berdepan dengan perubahan cuaca yang sentiasa berubah-rubah.

Tempat-tempat di pesisiran barat Amerika Syarikat dan di sebelah Selat Bering itu telahpun menghadapi musim panas yang sangat teruk sehingga menyebabkan terjadinya insiden kebakaran hutan yang dahsyat.Bukan setakat itu sahaja, isu mengenai kehilangan dataran ais di laut sehinggakan hujan lebat pada musim sejuk sedangkan sebelum ini hanya mendapat salji.

Disebabkan perubahan cuaca yang tidak menentu, hidupan-hidupan liar turut menderita. Burung-burung laut juga telah mati dalam jumlah yang agak banyak manakala mamalia marin juga tidak lagi mampu hidup dengan selesa.

Semua benda itu adalah akibat daripada pemanasan secara berterusan. Alaska yang berdekatan dengan Artik telah menerima kesan yang melampau berikutan kenaikan suhu dua kali ganda kadarnya berbanding keseluruhan planet Bumi, kata para penyelidik.

“Walaupun dengan kehadiran cuaca sejuk secara tiba-tiba baru-baru ini, saya tidak dapat nafikan tahun 2019 tetap menjadi tahun yang paling panas dalam rekod,” ujar pakar klimatologi University of Alaska, Brian Brettschneider.

Tahun paling panas bagi Alaska adalah pada tahun 2016 lalu, apabila suhu purata tahunan mencatatkan lebih daripada 0 Celsius. Itu adalah kali pertama suhu sudah tidak lagi berada di paras beku,” kata kenyataan dari Pentadbiran Laut dan Atmosfera Kebangsaan.

Pencairan besar-besaran

Pencairan yag berlaku pada musim bunga telah menunjukkan kesan kepada sungai-sungai utama yang berlaku lebih awal daripada biasa, dan lapisan paling atas permafrost di Semenanjung Seward tidak lagi membeku sepanjang tahun ini.

Selain itu,suhu musim panas juga telah meningkat kepada 32 darjah Celsius atau lebih lagi di beberapa kawasan termasuk Anchorage, yang sudahpun mengalami kemarau teruk. Kebakaran hutan juga telah memusnahkan beberapa buah kediaman, memaksa pemindahan dan mencemarkan udara selama berminggu-minggu.

Suhu laut yang meningkat pula membuatkan alga yang bertoksik membiak pantas di Laut Ahukchi di Artik.

“Kehilangan bongkah dan dataran ais membuatkan permukaan laut menyerap lebih banyak suhu panas, mencetuskan kitaran termodinamik yang mengakibatkan siri kesan perubahan iklim di seluruh dunia”, ujar Thoman.

Laut Bering turut menampakan isyarat yang jelas apabila populasi ikan telah berkurangan secara mendadak dan bangkai-bangkai burung laut mencemari pantai.

“Situasi luar biasa pada 2019 akan menjadi petunjuk kepada masa depan Alaska. Ia akan terus berlaku,” keluh Brettschneider.