Jika ditanya berkenaan dengan lelaki ini, sudah pasti ramai yang mengenalinya. 

Siapa tidak kenal dengan Sadio Mane yang merupakan penyerang sensasi yang kini bersama dengan pasukan Liverpool di Liga Perdana Inggeris.

Baru-baru ini, Sadio Mane telah dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Benua Afrika 2019. Siapa sangka, anak kepada imam masjid ini yang pada awalnya tidak dibenarkan untuk menjadi seorang pemain bola oleh ayahnya, sekarang mampu untuk meraih Piala Liga Juara- Juara Eropah bersama pasukan bola sepak Liverpool.

Beliau lahir pada tanggal 10 April 1992. Beliau merupakan salah seorang daripada pemain bola sepak yang beragama Islam. Beliau memulakan kariernya  bersama pasukan bola sepak Metz yang berpusat di Perancis. Selepas itu, beliau telah berhijrah ke Austria bagi mewakili pasukan Red Bull Slazburg. Beliau telah berjaya merekodkan 31 gol dalam 63 penampilan.

Kemudiannya, Sadio Mane telah menerima jemputan daripada kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris iaitu kelab Southampton. Beliau telah menerima jemputan itu supaya dapat beraksi di antara liga terbaik dunia. Di kelab inilah, beliau telah menempa nama apabila kehandalannya itu telah dikesan oleh pasukan bola sepak Liverpool dan mereka berminat untuk membawa beliau ke Merseyside.

Kemudian pada tahun 2016, Sadio Mane secara rasminya telah dibeli oleh Liverpool daripada Southampton dengan yuran perpindahan sebanyak  £34  juta berserta dengan kontrak selama 5 tahun. Sepanjang karier beliau bersama pasukan Liverpool, Mane telah berjaya membantu pasukan Liverpool mendapatkan Piala Liga Juara-Juara Eropah 2019, Piala UEFA Super Cup serta Piala Dunia Kelab yang baru mereka julang pada bulan Disember lalu.

Meskipun beliau telah menjadi terkenal, beliau tidak melupakan orang kampungnya di Senegal. Menurut laporan, Sadio Mane telah membina sebuah hopital di kampungya supaya dapat memudahkan orang-orang kampung beliau mendapatkan rawatan. Selain daripada hospital, beliau turut membina sebuah sekolah supaya anak-anak mendapat pendidikan yang mencukupi.

Sumber: Wiki / African Exponent