JOHOR BAHRU: Seorang lelaki rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, maut selepas terjun dari tingkat lapan sebuah apartmen di republik itu, dua hari lalu.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai mengalami kemurungan akibat masalah kerja di samping merindui keluarganya, selepas terkandas di Singapura hampir lapan bulan.null

Kisah lelaki berkenaan yang terjun dari apartmen tempat tinggalnya itu tular di akaun Facebook rakyat Malaysia bekerja di Singapura, sejak semalam.

Menurut sumber pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura yang enggan dikenali, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat kurier di republik berkenaan dipercayai menghadapi tekanan hidup kerana bukan sahaja terpaksa tinggal berjauhan dengan keluarganya, malah bebanan kerja yang bertambah susulan wabak COVID-19.

“Lelaki itu sudah beberapa kali mengadu dengan isterinya yang dia tertekan di tempat kerja. Namun dia tidak pula menunjukkan sebarang perubahan sikap setiap kali membuat panggilan secara video dengan isterinya kerana dilihat sentiasa ceria, selain selalu mengungkapkan kata rindu dan tidak sabar bertemu isteri dan anaknya.

“Dia juga ada memaklumkan sedang membuat persiapan pulang ke Johor Bahru dalam masa 10 hari lagi menerusi inisiatif Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), namun berita dia terjun dari apartmentnya dua hari lalu sangat mengejutkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa meninggalkan isteri dan seorang anak perempuan berusia empat tahun.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Petugas Khas Pekerja Malaysia-Malaysia (PEMAS), S Dayalan, berkata pihaknya berharap kerajaan Pusat dan negeri membuat siasatan menyeluruh susulan kejadian kes bunuh diri membabitkan pekerja Malaysia di negara itu semakin meningkat selepas sempadan kedua-dua negara ditutup.

Katanya, sehingga kini tiga kes bunuh diri berlaku sejak wabak COVID-19 yang menyebabkan sempadan Malaysia-Singapura ditutup sejak Mac lalu.

“Perkara ini kena siasat, mengapa mereka bunuh diri. Adakah kerana tertekan hidup akibat bebanan kerja, dibuang kerja atau rindu kerana berjauhan terhadap keluarga,” katanya.