Johor Bahru : Jabatan Perhilitan Negeri Johor menasihati orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga kerana kemungkinan terdapat buaya tembaga‘yang telah tersesat’ dari sungai berdekatan akibat banjir yang telah melanda sembilan daerah di negeri Johor baru-baru ini.

Pengarahnya,Salman Saaban menyatakan yang perkara ini tidak mustahil selepas mengambil kira laporan serta kajian kehadiran serta populasi buaya di sembilan sungai di negeri ini sebelum ini.

Sembilan sungai-sungai tersebut ialah Sungai Batu Pahat (Batu Pahat), Sungai Jemaluang dan Sungai Endau (Mersing), Sungai Lebam dan Sungai Sedili (Kota Tinggi), Sungai Muar (Muar), Sungai Pulai (Pulai) dan Sungai Johor dan Sungai Skudai (Johor Bahru).

“Jadi kawasan berpotensi (untuk buaya ini tersesat) tentunya ialah di longkang-longkang besar, parit atau tali air.

“Ia akan mencari binatang ternakan yang mati lemas akibat banjir sebagai sumber makanan yang mudah,” katanya ketika dihubungi sumber di sini.

Salman Saaban juga berkata sekiranya terserempak dengan buaya tembaga tersebut,tindakan yang harus dilakukan oleh orang ramai ialah menjauhi buaya tersebut dan memaklumkannya kepada pihak jabatan perhilitan.

 ”Jangan membuat provokasi atau panik kerana ini akan menyebabkan haiwan berkenaan bertindak ganas.

”Selain itu, pekalah terhadap keadaan sekeliling bagi mengelakkan kejadian seperti ini (terserempak buaya),” katanya.

 Sejak empat hari lalu banjir ini telah menyebabkan lebih 9,000 penduduk di daerah Mersing, Kota Tinggi, Segamat, Kluang, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru, Muar dan Kulai terjejas kerana rumah yang didiami telah dinaiki air.