BARANGKALI Okayama, Jepun belum menjadi salah satu destinasi menjadi pilihan utama masyarakat Malaysia berbanding Tokyo, Hokkaido atau Kyoto.

Bagaimanapun bandar pernah dibangunkan sebagai sebuah kota istana itu kaya dengan pelbagai tarikan yang membuatkan setiap individu terpukau dengan keindahan bandar itu.

Jepun yang terkenal dengan persekitaran bersih dan menyamankan sememangnya menjadi lokasi terbaik untuk percutian seisi keluarga lebih-lebih lagi ketika musim sejuk di negara itu.

Baru-baru ini penulis bersama 16 lagi rakyat Malaysia termasuk pelakon dan penyanyi Izzue Islam mengikuti rombongan anjuran Okayama Health Tourism selama lima hari empat malam.

Perjalanan yang amat mempesonakan itu diisi dengan jadual yang padat apabila berpeluang melihat beberapa tempat menarik di sekitar bandar Okayama seperti Taman Korakuen, Istana Okayama, taman buah-buahan, air terjun Kanba Falls dan banyak lagi.

Perjalanan kami dimulakan di Taman Korakuen iaitu sebuah tarikan paling terkenal di Okayama yang menarik dan memberi pengalaman indah.

Korakuen adalah satu daripada tiga taman terbaik di Jepun selain Kenrakuen Garden di Kanazawa dan Kairakuen Garden di Mito, Wilayah Ibaraki.

Dibina pada tahun 1700-an, taman seluas 13.3 hektar ini meliputi 1.8 hektar halaman selain pemandangan indah meliputi kolam, bukit dan rumah teh.

Kemudian perjalanan diteruskan dengan mempelajari cara membuat sushi dan seleksi makanan lazat serta paling utama halal lagi mesra Muslim.

Pada hari pertama rombongan berpeluang ke Daerah Kurashiki Bikan yang dahulunya lokasi terkenal para pedagang.

Dikatakan para pedagang kerap singgah atau menyimpan hasil pertanian mereka seperti beras sebelum dihantar ke Osaka dan Tokyo.

Tidak perlu khuatir soal penginapan kerana Okayama memiliki banyak hotel menawarkan harga berpatutan dan keselesaan buat pengunjung.

Malah pengangkutan awam disediakan mudah diakses dan pantas.

Rombongan kami diberi kesempatan menginap di hotel terkemuka iaitu Hotel Granvia Okayama yang sangat strategik berhampiran stesen Okayama selain menawarkan fasiliti terbaik.

Apa tidaknya, hotel ini menyediakan ruangan khas untuk menunaikan solat manakala setiap bilik mempunyai sejadah dan arah kiblat.

Hari kedua diteruskan dengan pengembaraan mengagumkan dengan keadaan cuaca sejuk mendamaikan.

Perjalanan hari kedua dimulakan dengan memetik buah anggur di Taman Kubo dan makan tengah hari di satu lokasi terkenal di Okayama iaitu Hiruzen Kogen Center Joyful Park. Makanan disediakan pastinya halald dandiyakini.

Selesai makan tengah hari, perjalanan diteruskan ke air terjun Kanba Falls. Perasaan sukar digambarkan dengan kata-kata tatkala melihat keindahan air terjun begitu mendamaikan.

Selepas terpesona dengan keindahan alam semula jadi, penulis dibawa beristirahat di Yubara International Hotel yang menawarkan penginapan selesa di samping mempunyai kolam air panas buat pengunjung secara percuma.

Hari ketiga dan keempat, perjalanan diteruskan ke Kyoto dan berakhir di Osaka yang sememangnya dikenali dengan syurga beli-belah. Banyak lokasi menarik dilawati sebelum pulang ke tanah air.

Penulis mengakui seronok dengan jadual disusun sepanjang berada di Okayama.

Jika diberi peluang ke sana lagi, pasti penulis tidak akan menolaknya kerana banyak lagi tempat menarik yang tidak sempat diterokai.

Secara keseluruhan, Okayama adalah lokasi wajib dilawati oleh rakyat Malaysia. Tidak perlu risau soal makanan yang sering membelenggu umat Islam tatkala ingin bercuti ke negara asing kerana Jepun kini dalam perancangan memperbanyakkan makanan halal sebagai satu cara menarik lebih ramai pengunjung beragama Islam menjelang 2020.