Colombo: Lebih 1,000 pekerja diuji positif Covid-19 di sebuah kilang di Sri Lanka yang hingga Ogos lalu menghasilkan pelitup muka pembedahan untuk Amerika Syarikat (AS).

Menurut pihak berkuasa negara itu, mereka kini sedang berusaha mengenalpasti sumber terbesar jangkitan wabak virus itu.

Kes semakin meningkat sejak ujian positif pertama dikesan di kilang pakaian berkenaan tiga hari lalu, menyebabkan jumlah jangkitan melonjak hampir 4,500 kes di negara itu.

Pemilik kilang Brandix, yang mendapat pujian antarabangsa kerana amalan lestari berkata, usaha mengawal penyebaran jangkitan di premisnya berhampiran Colombo itu amat sukar kerana terdapat sejumlah besar pembawa tanpa gejala.

“Sebilangan besar kes positif terbukti tidak menunjukkan simptom atau sebarang gejala berkaitan Covid-19,” kata firma itu dalam satu kenyataan kelmarin.

Ketua ahli epidemiologi Sri Lanka, Sudath Samaraweera, meminta masyarakat setempat bekerjasama dengan pihak berkuasa di sebalik kebimbangan wabak itu dapat merebak lebih jauh.

“Kami berusaha untuk mengesan bagaimana virus itu masuk dan ada kemungkinan kami akan berjaya atau mungkin tidak,” katanya kepada wartawan di Colombo.

Sebelum ini, kerajaan negara itu memaklumkan tiada penyebaran dalam komuniti di negara dihuni 21 juta orang itu.

Pihak berkuasa berkata, 1,026 pekerja yang positif Covid-19 di kilang mempunyai 1,700 pekerja itu sudah berada di hospital manakala baki pekerja dan ahli keluarga pekerja sedang dipindahkan ke pusat kuarantin kerajaan.

Semua mereka akan menjalani saringan termasuk masyarakat setempat di sekitar kilang berkenaan.

Semua perhimpunan awam dilarang, sekolah ditutup lima hari lebih awal sebelum cuti penggal, kejohanan kriket tempatan dibatalkan dan tentera menangguhkan sambutan ulang tahun ke-71 yang dijadualkan Sabtu ini.