LONDON: Ketika Khabib Nurmagomedov mencipta fenomena di seluruh dunia berikutan perlawanannya di luar gelanggang selepas menang ke atas Conor McGregor.Rasanya, tidak ramai yang sedar tindakan Khabib itu mirip seperti legenda tempur, Dagestani.

Imam Shamil mencuri tumpuan penduduk Dagestan pada Perang Murad 1832 apabila dia telah melompat daripada puncak tinggi memasuki wilayah musuh untuk melancarkan serangan secara solo kepada penceroboh Russia.. nampak seperti sama bukan?

Khabib jelas ‘menggerunkan’ lawannya dengan reputasinya dalam arena sukan pertahanan diri campuran (MMA) bagaikan ‘lembu jantan yang merempuh tanpa berfikir panjang’ sekali gus membuatkan lawannya membuat kesilapan jika cuba mencabarnya di dalam gelanggang oktagon.

Untuk memahami Khabib, kita perlu memahami bapanya, Abdulmanap yang digelar ‘Jurulatih Kehormat Russia’ susulan pencapaiannya melahirkan ramai juara tempur berkelas dunia dan menjadi tonggak  bagi perjalanan karier Khabib yang mula bergusti sejak usia lapan tahun.

Abdulmanap jelas tidak mempunyai belas kasihan apabila melatih anaknya dalam persekitaran sukar dengan membiarkan Khabib bergusti bersama beruang dan Abdulmanap menjelaskan, tindakan itu adalah untuk menguji karakter anaknya.

Bukan setakat bergusti bersama beruang tanpa sebarang kecederaan namun Khabib juga tidak gentar untuk mencabar dirinya dan Khabib mendedahkan, kali pertama dia belajar berenang adalah dengan terjun ke dalam sungai di kampungnya yang pernah meragut nyawa enam rakannya semasa kecil.

“Saya dan rakan selalu berenang di sini. Saya belajar berenang secara sendiri. Ada kalanya kamu akan hampir lemas tetapi begitulah cara kita belajar. Ramai kanak-kanak yang mati di dalam sungai ini,” kata Khabib.

Selain itu, altitud di Pergunungan Dagestan juga menjadikan ia sebagai tempat yang ideal untuk ‘The Eagle’ membina kekuatannya.

Khabib akan berlari secara ulang alik di pergunungan itu dengan masa sekitar 30 minit, menjalani rutin gusti bersama bapanya di gimnasium sebelum ke sekolah dan bapanya jelas menerapkan disiplin yang tinggi di dalam dirinya sehingga berjaya menjadi jaguh MMA terkemuka.

Jurulatih Akademi Kickboxing Amerika, Javier Mendez mengingati kembali kali pertama dia bertemu Nurmagomedov yang ketika itu masih muda.

“Baru sahaja saya bertemunya buat kali pertama, apa yang saya perasan adalah dia seorang yang menggerunkan.

“Dia agak liar dan pada sesi latihan kali pertama, Khabib menunjukkan kekuatan mentalnya dan ketabahan yang menakjubkan. Semuanya berpunca daripada sesi latihan hebat oleh ayahnya.

“Saya tahu dia akan menjadi juara tempur yang hebat tetapi dia tidak mendengar kata. Ada kalanya saya cuba memintanya bertenang ketika perlawanan ‘sparring’ tetapi dia melakukan yang sebaliknya. Itulah Khabib yang sebenar.”

Ketika Khabib berjaya mempertahankan tali pinggangnya buat kali kedua dengan menundukkan Dustin Poirier menerusi ‘submission’ di Abu Dhabi, Khabib sekali lagi melompat keluar gelanggang.

Dia menuju ke arah seorang individu yang sentiasa bersamanya daripada bergusti dengan beruang dan terjun ke sungai serta berlari di sepanjang pergunungan. Daripada berlatih di Amerika Syarikat dan mempelajari bahasa Inggeris sehinggalah menjadi juara UFC.