ALOR SETAR,Kedah: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun telah meninggal dunia kerana tercampak dari pangkuan ibunya dalam satu kemalangan di Jalan Titi Haji Idris, pada awal pagi tadi.

Kejadian tersebut berlaku lebih kurang pada jam 7.40 pagi itu melibatkan antara kereta Perodua Myvi yang dipandu pasangan suami isteri bersama bayi tersebut dengan Perodua Alza yang dipandu seorang wanita dalam lingkungan 30-an.

Wanita yang memandu kereta Alza itu hanya mengalami cedera ringan di tangan dan kepala sahaja.

Kedua-dua kereta tersebut dipercayai telah bertembung lalu terjunam ke dalam parit di sawah.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Encik Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pemandu kereta Myvi itu telah tersepit di tempat duduk bahagian hadapan manakala kanak-kanak tersebut pula telah tercampak ke bahagian hadapan kereta.

Pemandu dalam lingkungan 20-an itu mengalami patah di paha kanan dan di kaki kirinya, manakala isterinya mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki.

Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Baniyah (HSB) di sini untuk rawatan susulan.Jenazah kanak-kanak itu pula telah dihantar ke bahagian forensik HSB.

Sumber:AstroAwani