Putrajaya (Astro Awani): “Kerajaan tidak tahu macam mana sakit dan sengsaranya kami keluarga mangsa yang dibunuh.”

Itulah luahan Tan Siew Lin, 57 tahun. Dia merupakan ibu kepada Annie Kok Yin Cheng iaitu mangsa rogol dan bunuh pada tahun 2009 lalu.

Kata Tan Siew Lin, kerajaan seharusnya mempertimbangkan semula langkah pemansuhan perkataan mandatori dalam hukuman mati kerana cara ini dapat memberi keadilan kepada keluarga mangsa.

“Kita (keluarga) cakap memang kita tidak setuju dia (kerajaan) buat macam ini, mereka tidak tahu berapa sakitnya kita.

“Kalau diteruskan, kita mesti cari orang bising dekat sana (terus memberi tekanan),” katanya sambil mengesat air mata.


Annie, 17 tahun, telah dirogol dan kemudiannya dibunuh oleh Rabidin, 43, di Kampung Ketari Bentong, Pahang. Kejadian tersebut berlaku antara pukul 11.30 malam pada 7 Mac 2009 dan 1.50 petang 8 Mac 2009.

Sementara itu, nada sama juga diluahkan oleh Wong Hie Huong, 50 tahun, kakak kepada pegawai bank yang dibunuh kejam oleh Wong Jing Kui lapan tahun lalu.

Wong menyatakan yang orang yang membunuh adik saya perlu menerima balasan setimpal daripada tindakannya.

“Orang bunuh orang, mesti kena gantung dan mesti mati untuk beri keadilan kepada keluarga kami.

“Kalau kerajaan mansuh juga hukuman mati mandatori itu, ia sangat tidak adil dan pembunuh itu tidak boleh dibiarkan terlepas. Jadi sesiapa boleh bunuh orang di luar, sesiapa saja boleh buat jahat dan tidak perlu bertanggungjawab.

“Hukuman mati adalah untuk pelaku itu bertanggungjawab, kami bukan balas dendam,” katanya.

Jing Kui ditemui mati di dalam bilik tidurnya dengan lebih 20 kesan tikaman pada badannya di Sibu, Sarawak pada 14 Jun 2012.


Isteri mendiang didapati bersalah bersubahat membunuh mangsa dan dijatuhi hukuman mati mandatori.


Dalam pada itu, Jawatankuasa Khas Bagi Pemansuhan Hukuman Mati menggesa kerajaan agar tidak memansuhkan perkataan mandatori dalam hukuman mati.

Menurut jurucakapnya, Christina Tang, jika keputusan itu dicapai hanya akan membuka ruang kepada penjenayah untuk terlepas daripada hukuman setimpal.

Lebih malang, tiada keadilan kepada keluarga mangsa.

“Bagaimana dengan keluarga mangsa? Bagaimana dengan kita sebagai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai suara?

“Mangsa ini mungkin kamu atau kami, dan boleh terjadi kepada keluarga kita. Ramai golongan belia sekarang kata, kita seharusnya memaafkan dan berikan peluang kedua.

“Tetapi kita mesti kena fikir mengenai keluarga mangsa ini, anda letakkan diri anda di tempat mereka. Adakah anda tidak kisah pembunuh keluarga anda terlepas selepas dipenjarakan?

“Atau anda tidak kisah duit rakyat digunakan untuk menyara banduan ini di penjara. Ini sangat serius. 

“Kalau kerajaan hendak tukar undang-undang, kena buat referendum, bukan membuat keputusan antara pihak kamu (kerajaan) sahaja,” katanya.


Terdahulu, beliau bersama lima lagi peguam Jawatankuasa Khas Bagi Pemansuhan Hukuman Mati mengadakan perbincangan selama satu jam tiga puluh minit bersama Ahli Jawatankuasa Khas Kajian hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori di Bahagian Unit Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Selasa.

“Dipetik daripada Astro Awani”

Sumber: Astro Awani