Gambar sekadar hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Feb(Bernama) – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 akan diumumkan pada 5 Mac, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

KPM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan calon-calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan SPM mereka dari sekolah masing-masing mulai 10 pagi hari yang sama.

Bagi calon persendirian, keputusan akan dimaklumkan melalui pos atau menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu.

Calon juga boleh menyemak keputusan melalui mySMS 15888 dengan menaip SPM, jarak, Angka Giliran dan SMS ke 15888. Perkhidmatan itu akan diaktifkan bermula 10 pagi, 5 Mac dan akan ditamatkan 11 Mac pada pukul 6 petang.

Seramai 416,416 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM pada 2019 di 3,313 pusat peperiksaan di seluruh Malaysia.

Daripada jumlah itu, 357,010 adalah calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM (8,320), sekolah menengah agama negeri (8,317) dan sekolah menengah agama rakyat (2,209).

Selain itu, 14,203 orang adalah calon sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM dan 26,357 lagi calon persendirian.

“Dipetik daripada BERNAMA”

Sumber: Bernama