Menteri Pertahanan Negara Jepun, Taro Kono pada hari Jumaat yang lalu, telah mengarahkan Pasukan Pertahanan Diri Maritim menghantar kapal pemusnah serta dua pesawat peronda P-3C ke Timur Tengah. Ianya bertujuan untuk memastikan keselamatan kapal Jepun.

Kerajaan melihat yang perlunya misi itu dilakukan walaupun keadaan di Timur Tengah masih lagi  tegang. Ianya berikutan daripada kematian komander tertinggi Iran yang dibunuh oleh Amerika Syarikat serta serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh Iran.

Penghantaran anggota MSDF termasuk pesawat peronda serta kapal pemusnah adalah berdasarkan Artikel 4 Undang-undang Kementerian Pertahanan.

Untuk operasi P-3C, anggota MSDF akan berlepas dari Jepun pada hari Sabtu. Selain itu, mereka juga akan mengambil bahagian dalam misi antilanun yang sedang berlaku di Teluk Aden di Somalia.

Sementara itu, kapal pemusnah Takanami pula dijadualkan akan berlepas pada awal bulan Februari dan akan memulakan operasi di penghujung bulan.

Misi Timur Tengah ini meliputi kawasan-kawasan di sekitar Teluk Oman, utara Laut Arab serta Teluk Aden.Perairan Iran iaitu Selat Hormuz dikecualikan daripada misi ini. Misi ini dijangka akan berlangsung selama lebih kurang setahun. Walau bagaimanapun, ia boleh dilanjutkan sekiranya keadaan mendesak.

Sumber: Bernama