BENTONG(SinarHarian) – Seorang lelaki terpaksa berjalan kaki dalam cuaca panas terik disebabkan tidak memiliki wang untuk pulang ke kampung halaman di Kelantan.

Kejadian itu disaksikan oleh seorang pemuda yang kebetulan melalui jalan lebuh raya melepasi tol Bentong di sini.

“Sesiapa yang jumpa pak cik ni, tolong tumpangkan dia. Saya jumpa lepas tol Bentong, jalan kaki dari Subang nak balik Kelantan.

“Katanya datang ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai tukang cuci, bila sampai kawan beritahu tiada kerja. Ekoran itu, tiada wang dia nak balik jalan kaki,” kata Hafizi menerusi satu Tweet di Twitternya.

Atas rasa simpati, Hafizi mahu membantu dengan membeli tiket bas namun pelawaannya ditolak kerana lelaki itu mendakwa akan pening kepala jika menaiki bas.

“Saya ada rancang nak bawa balik Paka, Terengganu kemudian beli tiket balik Kelantan tapi dia tak mahu. Dia minta saya turunkan di Karak-Temerloh kerana mahu tumpang orang lain pula.

“Kesian datang jauh-jauh kena tipu dengan kawan. Saya ada beri sikit duit dan air. Berharap pak cik selamat sampai,” ujarnya.

Muat naik Hafizi di laman sosial telah menarik perhatian warganet yang turut menyatakan kesudian mahu membantunya sekiranya bertemu lelaki tersebut.

“Kalau saya jumpa, saya akan bantu.” ciap Anafiah.

Kata Amirah pula, “Allahu, balik jalan kaki dari Subang tu mahu 3 hari baru sampai Kelantan. Semoga ALLAH hantarkan insan yang baik-baik untuk tolong pakcik dan selamat sampai Kelantan.”

Tambah Bella, “Saya harap ada yang baik hati tumpangkan pak cik tu. Harap tak jadi apa-apa yang tidak diingini.”

Dalam pada itu, netizen bersimpati dengan nasibnya terus berdoa agar lelaki itu dilindungi ALLAH SWT dan selamat tiba ke destinasi.

Sesape yg jumpa pakcik nie,tolong tumpangkan dia.aku jumpe dia lps tol Bentong,jln kaki dr subang nk balik klantan,kata nya dtg kL nk kje cleaner,dh smpai kwn dia ckp xde keje,so sbb xde duit dia nk blk jln kaki😭😭 aku nk blikn tiket bas,dia ckp xnk sbb mabuk teruk kalo naik bas pic.twitter.com/v6NzRPXOh0

— Pg hafizi🍑👨🏼‍🎓👷🏻‍♂️ (@hafizikk93) January 14, 2020

“Dipetik daripada SinarHarian”

Sumber: SinarHarian