Negara Iran telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas beberapa pangkalan udara di Iraq yang menempatkan tentera Amerika Syarikat (AS) pada pukul 5.30 malam(waktu tempatan), hari Selasa.

Antara tempat yang menjadi sasaran Iran ialah pangkalan udara Al Asad yang berpusat di barat Iraq serta Irbil yang berada di sebelah utara.

Serangan peluru berpandu tersebut telah disahkan oleh Jabatan Pertahanan AS dalam satu kenyataan oleh Jonathan Hoffman, pembantu kepada Setiausaha Urusan Awam Pertahanan.

Walau bagaimanapun, sekatat ini tiada maklumat lanjut mengenai kematian atau kecederaan akibat serangan itu.

“Ketika kami menilai situasi dan tindak balas yang akan diambil, kami akan mengambil semua langkah yang perlu bagi melindungi dan mempertahankan anggota dan sekutu AS di rantau itu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Hoffman.

Setiausaha Akhbar White House Stephanie Grisham menerusi Twitternya itu telah mengesahkan bahawa Presiden Donald Trump telah dimaklumkan berkenaan serangan tersebut dan kini sedang memerhati mengenai situasi terkini sambil mendapatkan nasihat daripada pasukan keselamatannya.


We are aware of the reports of attacks on US facilities in Iraq. The President has been briefed and is monitoring the situation closely and consulting with his national security team.

— Stephanie Grisham (@PressSec) January 7, 2020

“Pagi ini, pejuang Tentera Udara IRGC melancarkan Operation Martyr Soleimani dengan kod ‘Oh Zahra’ yang menyerang menggunakan berpuluh peluru berpandu dari darat ke darat terhadap pangkalan kuasa teroris AS,” lapor media rasmi Iran ISNA, menurut ABC.

Menyusul laporan mengenai serangan tersebut, harga minyak mentah dilaporkan meningkat sabanyak  4 peratus.

Pada hari Selasa lalu, Setiausaha Pertahanan Mark Esper dalam satu taklimat telah menegaskan yang AS sudah bersedia untuk menyerang balas terhadap apa-apa serangan yang akan dilancarkan oleh Iran.

“Kepada rakan sekutu dan rejim Iran, saya ingin kata bahawa kami tidak ingin memulakan peperangan bersama Iran, namun kami bersedia untuk mengakhirinya,” kata Esper.

Ketegangan yang berlaku di antara AS dan Iran telah memuncak berikutan daripada pembunuhan jeneral tertinggi Iran, Jeneral Qassem Soleimani dalam serangan udara AS berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad pada Jumaat lalu.

Sumber:Astro Awani