“PAK CIK nak order (pesan) banyak ke? Kalau untuk seorang tak apa saya belanja,” itulah tawaran yang diberikan oleh seorang petugas kaunter sebuah restoran makanan segera kepada seorang pelanggan yang tiada wang tunai untuk membayar pesanan makanan yang dibuat.

Kisah petugas lelaki yang berhati mulia itu telah mendapat perhatian daripada netizen selepas kisah tersebut dikongsi oleh pelanggan tersebut,iaitu Datuk Roslan Hassan di akaun Facebook miliknya, kelmarin.

Perkongsian beliau itu kemudiannya telah menjadi tular di laman sosial dan telah mendapat lebih daripada 49,000 like.Kisahnya itu telah dikongsi lebih daripada 7,500 netizen yang rata-rata memuji layanan yang diberikan oleh petugas kaunter berkenaan kepada pelanggan.

Begini kisahnya,Datuk Roslan berkata,dia bertemu dengan pekerja itu,Firdaus Fitri,ketika singgah untuk membeli makanan di sebuah restoran makanan segera di Hentian Rehat dan Rawat (R&R),Ayer Keroh, Melaka, pada hari Ahad lalu.

“Saya sekeluarga singgah di R&R berkenaan ketika dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke Desaru, Johor untuk menghadiri program hari keluarga syarikat.

“Sementara menunggu isteri, ibu dan anak perempuan selesai solat di surau, saya singgah di sebuah restoran makanan segera untuk membeli makanan.

“Sebaik tiba giliran, saya bertanya kepada petugas kaunter sama ada boleh membayar dengan kad debit kerana tiada wang tunai, malangnya tidak boleh.

“Saya cuba menghubungi isteri dan anak perempuan ketika itu bagi mendapatkan bantuan tetapi panggilan telefon tidak dijawab,” kata beliau ketika dihubungi oleh Harian Metro.

Apabila petugas itu melihat keadaannya ketika itu,dia telah bertanya kepada Roslan sama ada dia mahu membuat pesanan makanan dalam kuantiti banyak atau sebaliknya dan dia tidak kisah untuk belanja jika makan bersendirian.

Walau bagaimanapun,Datuk Roslan telah menolak tawaran pemuda berkenaan dengan baik kerana enggan menyusahkan pekerja itu memandangkan Datuk Roslan mahu membuat pesanan untuk sembilan orang iaitu untuk dirinya,isteri, ibu,tiga anak,anak saudara serta dua orang kakitangannya.

“Saya tanyakan padanya (petugas kaunter) di mana mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berhampiran dan dia memberitahu ia terletak di luar R&R yakni agak jauh jika hendak pergi dengan berjalan kaki.

“Mungkin kerana tidak sampai hati melihat keadaan saya yang sudah beratur panjang, petugas kaunter itu meminta saya membuat pesanan terlebih dulu sebelum menawarkan saya menggunakan motosikalnya untuk ke stesen minyak berkenaan.

“Selesai membuat pesanan, saya terus menuju ke pintu keluar untuk mengambil kunci daripada petugas berkenaan di belakang restoran dan pada waktu itu juga, isteri dan anak muncul sebelum memberi wang bagi membayar pesanan dibuat,” katanya.

Selain itu,Datuk Roslan juga berkata yang beliau tidak menyangka yang perkongsiannya akan mendapat perhatian daripada netizen sehingga kisahnya itu tular di laman sosial.Akan tetapi diharap orang ramai dapat mengambil mesej positif daripada perkongsiannya itu.

Di samping itu,Datuk Roslan turut berhasrat untuk bertemu semula dengan Firdaus untuk memberi ‘token’ (sagu hati) sebagai tanda penghargaannya sebelum pulang semula ke ibu kota.

“Saya sekadar berkongsi kisah berkenaan di Facebook dan tak sangka pula ramai memberi maklum balas hingga hantaran itu menjadi tular di laman sosial.

“Bagi saya, kisah seperti ini wajar dikongsikan kerana menunjukkan sisi seorang anak muda yang berjiwa besar dan saya percaya, ramai lagi (anak muda) di luar sana mempunyai sikap seperti Firdaus.

“Namun, di sebalik komen positif, ada juga yang mempersoalkan tindakan Firdaus yang mahu meminjamkan motosikalnya kepada saya.

“Sedangkan, saya ada menawarkan kunci kereta serta kad bank sebagai jaminan untuk datang semula ke restoran,” katanya.