PARIS, 15 Okt (Bernama) — Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Rabu mengumumkan perintah berkurung waktu malam dikuat kuasakan di Paris dan bandar-bandar lain, selaras dengan darurat yang telah diisytiharkan di negara ini bagi membendung penularan COVID-19.

Dalam wawancara disiarkan televisyen negara, Macron berkata perintah berkurung berkuat kuasa mulai Sabtu dari 9 malam hingga 6 pagi di wilayah Ile-de-France dan lapan bandar lain, lapor Agensi Anadolu.

Selain Paris dan wilayah di sekitarnya, langkah terbaru itu juga membabitkan bandar Lille, Grenoble, Lyon, Aix-Marseille, Montpellier, Rouen, Saint-Etienne dan Toulouse.

Langkah tersebut dikuat kuasa oleh presiden untuk membantu membendung COVID-19 daripada terus merebak, yang menurut pegawai kesihatan Perancis kini berdepan gelombang kedua jangkitan.

Kementerian Kesihatan Perancis pada Rabu melaporkan 22,591 kes baharu COVID-19, menjadikan keseluruhan 779,063 kes jangkitan. Angka korban pula sudah mencecah 33,037 ditambah 104 lagi kematian yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Macron juga menggesa sebarang perhimpunan yang dianjurkan dihadkan tidak melebihi enam orang.

Ujarnya, mereka yang mendapat bantuan kebajikan dan perumahan akan menerima €100 hingga € 150 untuk setiap anak tempoh selama enam minggu.

— BERNAMA