Kali ini,rakyat Malaysia akan  mempunyai peluang untuk menyaksikan Gerhana Matahari Anulus (Cincin).Gerhana ini akan berlaku pada 26 Disember ini.Gerhana ini akan berlaku di kawasan Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak.

Pengarah Planetarium Negara,Anita Bahari telah berkata yang Gerhana Matahari Cincin itu hanya akan berlaku di dua kawasan tersebut sahaja.Hal ini kerana hanya pada ketika itu sahaja kedudukan bulan, bumi dan matahari adalah selari.

Selain itu,beliau juga berkata yang tempoh gerhana tersebut akan bermula pada pukul 1.21 petang hingga 1.23 petang di Tanjung Piai.Manakala di Serian pula,gerhana itu akan berlaku dalam tempoh kira-kira empat minit.Ia akan bermula dari pukul 1.46 petang hingga 1.50 petang.

“Gerhana Matahari Cincin ini pernah terjadi 21 tahun dahulu iaitu pada 22 Ogos 1998 di Mersing, Johor dan jika anda terlepas peluang ini, kita harus menunggu 22 tahun lagi,” kata Anita dalam sidang media Gerhana Matahari Anulus pada hari ini.

Turut hadir dalam sidang tersebut ialah,Setiausaha Bahagian Perkhidmatan Sains, Teknologi, Industri dan Pembudayaan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Kamaruzaman Nik Husin.

Seluruh negara juga akan turut mengalami fenomena Gerhana Matahari Separa pada waktu  yang sama.Ia kemungkinan akan berlaku pada pukul 10.30 pagi sehingga 3.30 petang.

Walau bagaimanapun,sekiranya rakyat ingin melihat kejadian Gerhana Matahari Cincin dengan lebih dekat dan tepat,ia hanya akan berlaku di Tanjung Piai dan Serian sahaja.

Selain itu,bersempena dengan fenomena itu juga,Planetarium Negara dengan kerjasama Taman Negara Tanjung Piai akan turut mengadakan festival SolarFest Malaysia 2019 yang akan bermula pada 24 sehingga 26 Disember ini.

Festival tersebut menyasarkan lebih 30,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjuran itu.Festival tersebut juga akan disertai oleh ahli-ahli astrofizik serta selebriti-selebriti tempatan.Antara acara di dalam festival itu ialah kempen kesedaran alam sekitar dan pameran solar Gastronomi.

 Kemuncak acara ialah pada 26 Disember nanti,di mana orang ramai khususnya peminat astronomi akan berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Cincin melalui teleskop dan cermin mata yang akan disediakan oleh Planetarium Negara.