Slim River: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam berdekatan Plaza Tol Slim River pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh, P Panneerselvam, 32; S Vijandran, 41; A Sivakumar, 28, dan R Durai Raaj, 25, kerana mereka tidak memahami Bahasa Melayu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hidayah Ismail.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat lelaki itu didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam, Koperal Muhd Syahrul Azuwan Ab Manaf daripada menjalankan tugasnya sebagai anggota polis apabila tidak memberi kerjasama setelah diberi amaran berulang kali untuk beredar dan gagal mengemukakan kad pengenalan ketika diminta.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan berdekatan Plaza Tol Slim River pada 3.30 pagi 16 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Nurul Hidayah kemudian membenarkan keempat-empat tertuduh masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Oktober depan untuk mendapatkan jurubahasa Tamil.

Dalam prosiding sama, Durai Raaj didakwa atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan menolak badan dan membuka zip vest anggota sama di lokasi serta waktu sama.

Bagi pertuduhan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir, manakala semua tertuduh diwakili peguam A Puvanasvary daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).