Gambar sekadar hiasan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa sehingga pukul 12 tengah hari, terdapat empat (4) kes baharu dilaporkan pada hari ini (1 Mac 2020).

KES BAHARU KE-26

Kes ke-26 merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 52 tahun. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Shanghai, China pada sekitar pertengahan bulan Januari 2020. Beliau mula mengalami gejala demam dan sakit tekak pada 27 Februari 2020. Beliau telah pergi mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dari sebuah hospital swasta pada hari yang sama. Ujian saringan pengesanan COVID-19 telah dijalankan ke atasnya dan disahkan positif pada 29 Februari 2020. Beliau telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya. Siasatan punca jangkitan dan pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan.

KES BAHARU KE-27

Kes ke-27 merupakan seorang wanita warganegara Malaysia berusia 20 tahun dan merupakan seorang jururawat pelatih. Beliau menjalani latihan sangkutan jangka pendek di hospital swasta yang merawat kes ke-24. Semasa aktiviti pengesanan kontak rapat dijalankan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah, beliau telah dikenalpasti sebagai salah seorang dari kontak rapat kes berkenaan. Pada 21 dan 22 Februari 2020, beliau telah mengendalikan kes terbabit tanpa memakai sebarang peralatan perlindungan diri (personal protective equipment; PPE) seperti disarankan. Pada 27 Februari 2020, beliau mula mengalami gejala batuk. Ujian saringan pengesanan COVID-19 telah dijalankan ke atasnya dan disahkan positif pada 29 Februari 2020. Beliau telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya.

KES BAHARU KE-28

Kes ke-28 merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 45 tahun dan merupakan rakan sekerja kepada kes ke-25. Beliau bersama-sama dengan kes ke-25 dan seorang lagi rakan sekerja mempunyai sejarah perjalanan ke Milan, Itali pada 15 hingga 21 Februari 2020. Semasa aktiviti pengesanan kontak rapat dijalankan, beliau telah dikesan dan didapati mempunyai gejala sejak 26 Februari 2020. Ujian saringan pengesanan COVID-19 telah dijalankan ke atasnya dan disahkan positif pada 29 Februari 2020. Beliau telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya.

KES BAHARU KE-29

Kes ke-29 merupakan seorang wanita warganegara Malaysia berusia 35 tahun. Terdahulu, beliau telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 21 Februari 2020. Beliau telah ditempatkan di bilik berdua dengan kes ke-24; yang pada ketika itu belum diketahui dijangkiti COVID-19. Pada 25 Februari 2020, beliau telah dibenarkan pulang ke rumah. Pada 27 Februari 2020, beliau mula merasa tidak sihat – mengalami gejala demam dan batuk. Namun, beliau tidak mendapatkan sebarang rawatan. Semasa aktiviti pengesanan kontak rapat dijalankan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah, beliau telah dikenalpasti sebagai salah seorang dari kontak rapat kepada kes ke-24. Ujian saringan pengesanan COVID-19 telah dijalankan ke atasnya dan disahkan positif pada 29 Februari 2020. Beliau telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya.

STATUS SEMASA KES JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA

Dengan pelaporan empat (4) kes terbaru, jumlah kumulatif kes COVID-19 sehingga pukul 12 tengah hari 1 Mac 2020 adalah sebanyak 29 kes; iaitu tujuh belas (17) orang dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI), sepuluh (10) orang dalam kalangan kontak rapat dan dua (2) orang dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan. Dari jumlah tersebut, lima belas (15) orang adalah warganegara China, sebelas (11) orang adalah warganegara Malaysia dan tiga (3) orang adalah lain-lain warganegara (iaitu Amerika Syarikat, Jepun serta Itali). Daripada 29 kes positif ini, sebanyak 22 kes telah sembuh dan dibenarkan discaj – menjadikan kes yang masih menerima rawatan di wad pada ketika ini seramai tujuh (7) orang.

MESYUARAT PENGURUSAN KES DISYAKI DAN PESAKIT BAGI COVID-19 DI HOSPITAL DAN KLINIK SWASTA

Pada hari ini, mesyuarat pengurusan kes disyaki dan pesakit COVID-19 di hospital dan klinik swasta telah diadakan di peringkat kebangsaan. Ia bertujuan untuk mempertingkatkan lagi kefahaman pengamal perubatan swasta kepada situasi COVID-19 terkini di peringkat global dan di Malaysia. Di samping itu ia juga untuk memastikan pihak pengamal swasta telah bersedia dengan kesiapsiagaan dan respon dalam menghadapi situasi COVID-19 yang di luar jangkaan.

Sumber: KKM