SHAH ALAM (SinarHarian) – Kisah seorang kanak-kanak perempuan yang menjual tisu di sekitar jalan demi membantu ibunya yang cacat penglihatan telah menyebabkan rata-rata warganet sebak.

Kisah tersebut dimuat naik oleh seorang guru iaitu  Mohd Fadli Salleh di laman Facebooknya. Dia telah menceritakan mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun yang sanggup berkorban untuk turun ke jalanan dan menjual tisu bagi membantu menyara keluarganya.

Apa yang lagi menyedihkan ialah, upah ibunya yang hanya bekerja sebagai tukang urut tidak cukup untuk menampung barangan keperluan telah menyebabkan ketiga-tiga anaknya yang berusia antara 16 tahun sehingga 9 tahun tidak lagi bersekolah.

“Ibunya Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan. Mampu jadi tukang urut sahaja. Itu pun gajinya yang tidak besar mana. Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakt (JKM) dan Baitulmal sebelum ini mereka dapat, namun untuk tahun ini katanya masih dalam proses.

“Hari ini, aku pergi ziarah, jumpa mereka dan berbincang dengan cara baik. Kami pergi bukan untuk menghakimi kehidupan mereka, bukan juga untuk menjatuhkan hukuman, jauh sekali nak mengecam dan menyindir atau menghina,” tulisnya.

Sementara itu, Mohd Fadli turut berkata yang pihaknya telah menawarkan bantuan kewangan serta barangan dapur setiap bulan demi memastikan ketiga-tiga anaknya dapat pergi ke sekolah semula dan tidak lagi perlu menjual tisu demi menyara keluarga.

Katanya lagi, dia juga akan memastikan bantuan daripada Baitumal dan JKM akan segera dikembalikan kepada mereka selain membantu membayarkan sewa rumah untuk tiga bulan yang pertama buat keluarga itu.

“Ini demi memastikan anak perempuan mereka yang berusia 9 tahun itu kembali ke sekolah dan tidak lagi mengemis di jalanan. Aku sangat risaukan anak perempuannya yang menjual tisu itu.

“Dah ada beberapa laporan aku terima, budak perempuan menjual tisu dan akhirnya menjual badan untuk RM5-RM10 kepada pemandu teksi dan Bangla sebelum ini. Aku tak nak peristiwa serupa menimpa anak yang comel ini.”

“Penawaran ini perlu untuk menggantikan pendapatan yang hilang. Alhamdulillah, mereka bersetuju. Rasa nak sujud syukur tadi,” katanya.

Sumber: Mohd Fadli Salleh