Sepasang suami isteri tetap gigih mengambil upah melipat dan menggosok pakaian sejak lima tahun lalu.Mereka juga tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap persepsi negetif netizen kepada kerja mereka.

Nur Khalidah binti Mohd Khalid,28 tahun telah berkata, dia dan suaminya,Mohd Zairi Mohd Sani tidak malu sekiranya terdapat pihak yang merendah-rendahkan pekerjaan mereka.Malah,mereka lebih mementingkan keberkatan dalam mencari rezeki yang halal.

“Bagi saya, rezeki dan gaji adalah perkara yang berbeza. Kita boleh peroleh gaji tetap yang besar tetapi setiap hujung bulan masih tidak cukup.

“Berbanding rezeki pula, ia mungkin sedikit namun, cukup untuk menampung perbelanjaan. Itulah kemanisan hidup yang saya dapat rasai dengan mengambil upah melipat kain.

“Biarlah apa orang nak kata asalkan apa yang saya buat ini boleh memudahkan kehidupan orang lain dan Insya-Allah peroleh rezeki yang diberkati,”

Katanya lagi,dia dan suaminya amat bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk mencari sumber pendapatan yang halal walaupun pekerjaan mereka tidak popular.

“Apabila bekerja mengambil upah melipat dan menggosok pakaian, kebajikan anak juga terjaga kerana kami mempunyai lebih banyak masa bersama berbanding semasa bekerja tetap dulu.

“Malah, saya boleh tumpukan perhatian kepada ibadah dan dalam masa sama dapat menjadikan pengalaman yang ada sekarang sebagai nilai tambah pada masa akan datang,” katanya.

Nur Khalidah mengambil upah RM10 hingga RM25 bagi melipat baju bergantung kepada saiz bakul. Manakala dari RM1 hingga RM2 bagi setiap helai baju yang digosok di sekitar Shah Alam.

Perniagaan suami isteri itu juga mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada penduduk-penduduk sekitar Shah Alam yang terlalu sibuk dengan pekerjaan sehingga tidak sempat menguruskan pakaian-pakaian mereka.

Katanya lagi,bagi mereka yang sedang sibuk mencari wang,ianya bukanlah sesukar yang disangkakan.

“Saya memulakan perniagaan ini dengan menetapkan bayaran seikhlas hati pada dua tahun pertama dan Alhamdulillah masih mampu menanggung kami lima sekeluarga.

“Jangan terlalu memikirkan keuntungan yang besar, pasang niat dan ikhlaskan hati untuk memudahkan kehidupan orang lain dan peroleh rezeki yang diberkati,” katanya.