Baru-baru ini FS Channel di laman Facebook rasmi milik mereka telah berkongsi satu video yang menunjukkan seorang remaja yang dipanggil dengan nama Afendi, berumur16 tahun, yang sedang menjual nasi lemak serta kuih muih dengan menaiki basikal di sekitar kawasan perumahan.

Afendi berkata, yang dia baharu sahaja berniaga di sekitar kawasan Jalan Pandamaran Jaya 80, 81, 79, dan 74 itu sejak dua bulan lalu dan dia akan menjual di kawasan tersebut setiap hari bagi membantu meringankan beban ibunya

Menurut Afendi, ibunya akan membuat kuih-muih dan nasi lemak bermula pukul 9.30 pagi dan dia akan mencuba untuk menghabiskan makanan itu setiap hari selepas dia pulang dari sekolah.

“Kalau hujan ada payung untuk kuih saya. Bila saya berniaga ketika hujan, saya tak kisah basah atau tidak janji jangan kuih yang basah,” katanya.

Dia turut memberitahu yang, dia akan menerima upah menjual kuih sebanyak RM3 sahaja daripada ibunya.

“Idea untuk berniaga ini cadangan daripada adik. Masa itu rasa macam duduk rumah tak buat apa-apa.”

“Saya cakap dengan mak minta nak membantu dia berniaga. Kuih kadang-kadang tak habis namun kami sedekah dekat orang,” kata Afendi lagi.

Selain itu, FS Channel telah mengambil pendekatan dengan membeli kesemua kuih dan nasi lemak Afendi dan menghulurkan sumbangan yang diperoleh daripada orang ramai.

 Video tersebut telah tular di media-media sosial dan telah meraih lebih 1 juta tontonan dan 9,600 perkongsian mengenai remaja tersebut.

Video tersebut telah membuatkan rata-rata netizen sebak dan ada juga yang mendoakan agar Afendi sentiasa dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.

“Tulusnya dia mencari rezeki, tak berkira pasal upah. ALLAHU. Mulia dan ikhlas hatimu dik. Sebak bila dia berkata..”badan basah takpe..janji kuih jangan basah”..semoga ALLAH murahkan rezeki kau dik dan semoga dipermudahkan ALLAH urusan bro FS Channel,” tulis Tania Alia di Facebook.

Rozita Radzali pula memberitahu “Walaupun upahnya kecil tapi tanggungjawab sebagai anak dia laksanakan dengan baik. Dia tak malu dan tak kekok untuk menjual. Ini antara golongan yang berusaha dan satu hari pasti berjaya kau dik,”.


Sumber:Sinar Harian,FS Channel