KUALA LUMPUR, 24 Feb – Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menyatakan sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan terus memimpin Pakatan Harapan (PH).

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata parti itu berdiri teguh bersama PH dan Dr Mahathir untuk Malaysia yang lebih baik.

“Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada Tun (Dr Mahathir) untuk melalui kemelut politik yang berlaku ini,” katanya dalam kenyataan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, memaklumkan Dr Mahathir telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh, hari ini.

Surat peletakan jawatan itu telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada pukul 1 tengah hari tadi.

Pada masa yang sama, Dr Mahathir turut meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sementara itu, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu membuat keputusan untuk keluar daripada PH, dan keputusan tersebut dicapai Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dalam mesyuarat khas yang diadakan semalam.

Kesemua Ahli Dewan Rakyat daripada Bersatu, turut mengambil langkah keluar PH, dan mereka telah menandatangani Akuan Bersumpah untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Dipetik daripada BERNAMA”

Sumber: Bernama