KUALA LUMPUR – Rakyat amatlah menyanjungi sifat prihatin Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terutama sekali apabila ia melibatkan mangsa yang ditimpa bencana termasuk kemalangan.

Baru-baru ini telah tular satu video yang menunjukkan Al-Sultan Abdullah sedang turun daripada kenderaan baginda untuk melihat kerja-kerja mengalihkan sebuah lori yang terbalik akibat terbabas.

Video yanh berdurasi satu minit dua saat itu telah dikongsikan di laman Facebook PRO Pahang dan telah mendapat pelbagai reaksi daripada warganet yang sangat mengagumi dengan sifat prihatin baginda.

Menurut sumber, video berkenaan dirakam kira-kira jam 3 petang pada Khamis lalu ketika Al-Sultan Abdullah dalam perjalanan ke padang golf berdekatan untuk beriadah.

“Kemalangan dipercayai berlaku pada sebelah pagi berhampiran pintu ketiga Istana Negara. Baginda juga dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

“Lori berkenaan dikatakan tidak lepas mendaki jalan berbukit sebelum terbabas ke bahu jalan ketika mengundur.

“Pada sebelah petang sewaktu mahu keluar bermain golf, Baginda mencemar duli turun daripada kenderaan melihat kerja-kerja mengalihkan lori tersebut,” katanya.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut meluangkan masa berbual bersama individu yang bertanggungjawab melakukan kerja pengalihan lori itu.

Sumber:SinarHarian