TUN Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Saifuddin Abdullah merupakan antara calon-calon yang sesuai memegang jawatan Menteri Pendidikan yang baharu bagi menggantikan Dr Maszlee Malik yang telah meletak jawatannya yang akan mula berkuat kuasa hari ini.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian turut berkata yang sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) diumum telah memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14, Dr Mahathir pernah menawarkan dirinya untuk mengambil alih portfolio di sektor pendidikan.

“Bagaimanapun, Dr Mahathir menerima kritikan berikutan ia bercanggah dengan manifesto PH iaitu perdana menteri tidak dibenarkan memegang portfolio lain semasa menjalankan tugas, terutama sebagai menteri kewangan.”


“Sebelum menjadi perdana menteri beliau juga pernah menjadi menteri pendidikan iaitu antara 1974 dan 1977,” katanya.

Selain iti, Dr Sivamurugan turut berkata, yang jika prinsip PH itu diubah kemungkinan besar Dr Mahathir akan menjadi calon sesuai.

“Saya beranggapan Dr Mahathir calon sesuai, tetapi perlu dilihat adakah mereka masih memegang prinsip PH yang perdana menteri tidak boleh memegang jawatan lain,” katanya.


Kata beliau lagi, dia yakin yang Dr Mahathir akan meletakkan calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).


“Calon lain yang sesuai mungkin Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta ahli Bersatu Datuk Seri Mustapa Mohamed bagi menggantikan Dr Maszlee.

“Muhyiddin pernah menjadi menteri pendidikan di zaman pemerintahan terdahulu, begitu juga Tok Pa (Datuk Mustapa Mohamed).

“Malah tidak mustahil juga Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah juga antara calon baru kerana pernah memegang portfolio jawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,” kata beliau lagi.

Beliau turut berkata yang dia tidak pasti sama ada Dr Mahathir mahu mengambil calon dari kalangan Ahli Dewan Rakyat yang telah sedia ada atau melantik senator dalam bidang pendidikan.

“Portfolio Menteri Pendidikan adalah cabang besar dalam kabinet sesebuah kerajaan dan struktur tabir urus negara. Agak sukar membuat ramalan yang tepat mengenai siapa calon baharu menteri pendidikan kerana ia membabitkan percaturan politik namun saya difahamkan satu rombakan Kabinet besar-besaran akan berlaku tidak lama lagi,” katanya.



Di samping itu, Dr Sivamurugan turut berkata, yang tidak mustahil juga antara percaturan baru kerajaan sekarang adalah menteri besar akan dibawa ke peringkat pusat contohnya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Sekiranya ada lagi anggota Kabinet lain melepaskan jawatan mereka, mungkin kita akan melihat rombakan lebih besar kerana ini antara perjalanan politik PH yang dinanti rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Sumber:MyMetro