Suhu permukaan global pada tahun 2019 adalah yang kedua terpanas sejak penyimpanan rekod moden dimulakan pada tahun 1880, kata Agensi Berita Xinhua, memetik daripada analisis bebas yang dikeluarkan oleh agensi angkasa Amerika NASA dan National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA).

Suhu global pada tahun 2019 adalah yang kedua terpanas selepas tahun 2016 yang memaparkan trend pemanasan jangka panjang planet ini, menurut laporan NASA-NOAA yang dikeluarkan pada hari Rabu lalu.

Suhu global pada tahun 2019 adalah 0.98 darjah Celsius lebih panas berbanding tahun 1951 hingga 1980. Dengan itu, ia menjadikan lima tahun yang lalu paling panas dalam tempoh 140 tahun yang lalu, menurut saintis di Institut Goddard untuk Pengajian Angkasa (GISS) NASA di New York.

Selain itu, analisis NOAA turut mendapati bahawa suhu global pada tahun 2019 adalah 0.95 darjah Celsius melebihi purata abad ke-20.

Di samping itu, purata suhu pada tahun 2010 ialah 14.7 darjah Celsius di seluruh dunia, 0.8 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata abad ke-20, menjadikan ia dekad paling hangat dalam rekod, menurut NOAA.

“Ini menunjukkan bahawa apa yang berlaku adalah berterusan, bukan kebetulan disebabkan oleh beberapa fenomena cuaca,” kata Pengarah GISS Gavin Schmidt.

Seterusnya, para saintis dari Pertubuhan Meteorologi Dunia juga menyatakan yang tahun 2019 berada dalam carta suhu yang paling panas untuk dunia.

Model iklim dan analisis statistik menunjukkan peningkatan ini sebahagian besarnya berpunca daripada peningkatan emisi ke atmosfera yang dipenuhi dengan karbon dioksida serta gas rumah hijau yang dihasilkan dek aktiviti manusia.

“Kami tahu bahawa trend jangka panjang didorong oleh peningkatan kadar gas rumah hijau di atmosfera,” kata Schmidt.

Sumber: Bernama