KLANG: Kebimbangan sekatan pergerakan dan majlis pernikahan diadakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Mukim Klang, menyebabkan Pejabat Agama Islam Daerah Klang di sini, ‘diserbu’ 118 pasangan untuk mendirikan ‘masjid’ seawal jam 9 pagi semalam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad, berkata walaupun ramai yang tampil, namun urusan itu berjaya diselesaikan kerana pihaknya bersedia lebih awal sebab sudah menjangkakan keadaan itu akan berlaku semalam.

“Alhamdulillah, 118 pasangan pengantin selamat mendirikan ‘masjid’. Mereka dinikahkan secara berperingkat oleh lima Pendaftar Perkahwinan Nikah Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor.

“Bukan luar jangka sebaliknya sejak awal lagi, saya sudah meminta semua pegawai di Klang bersedia menghadapi keadaan itu. Saya tetapkan majlis akad nikah disempurnakan sepenuhnya sebelum jam 12 tengah malam tadi.

“Kalau ada keperluan selepas ni, JAIS akan melaksanakannya, bagaimanapun JAIS jangkakan hari-hari berikutnya tidak akan jadi seperti malam tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Shahizan berkata, biasanya pasangan dinikahkan Penolong Pendaftar Kariah, tetapi dalam keadaan sekarang JAIS bantu pasangan yang berkenaan untuk meneruskan majlis nikah mereka dengan membuka pejabat pada Sabtu dan Ahad serta hari bekerja.

“Bermula hari ini sehingga 23 Oktober, Mukim Klang berada dalam PKPB dan penangguhan aktiviti masjid dan surau di seluruh daerah Klang.

“Biasanya perkhidmatan diberikan mulai jam 8 hingga 6 petang mengikut waktu pejabat, tetapi dalam keadaan sekarang keperluan akad nikah tertumpu ke pejabat agama Islam daerah, jadi JAIS akan bantu, malah akan terima majlis akad nikah waktu bekerja.

“JAIS juga yang memaklumkan kepada penolong pendaftar nikah bahawa pejabat agama daerah Klang dibuka untuk tujuan akad nikad, sebab itu ramai pasangan datang semalam,” katanya.

Sementara itu, seorang jurugambar perkahwinan, Sheikh Ameer Haziq, 24, yang berkongsi kesibukan suasana di pejabat agama itu di Facebook, menyifatkan ia bagaikan majlis graduasi universiti kerana dipenuhi orang ramai.

Katanya, ketika beliau tiba kira-kira 6 petang semalam, ramai bakal pengantin beratur panjang dari dalam sehingga ke perkarangan pejabat agama itu.

“Sangat ramai pasangan pengantin semalam, ketika sampai, ada lebih 40 pasangan sedang beratur, difahamkan setiap pengantin diberikan waktu masa akad nikah, contohnya pelanggan saya adalah pasangan yang dinikahkan jam 9.30 malam.

“Sepanjang enam tahun jadi jurugambar, ini kali pertama saya lihat suasana ini, saya tidak menyangka begitu ramai pasangan seperti malam tadi.

“Saya difahamkan, ada pasangan sepatutnya bakal nikah minggu hadapan tetapi dipercepatkan kepada semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.